Najib minta jentera BN jangan sabotaj parti

Najib minta jentera BN jangan sabotaj parti

Ketika kempen pilihan raya masuk minggu kedua, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan jentera BN supaya masalah dalaman parti seperti sabotaj mesti dibendung bagi memastikan BN mencapai kemenangan cemerlang pada pilihan raya umum ke-13.

Pengerusi BN itu berkata beliau melihat momentum rakyat kepada BN adalah baik dan kedudukan parti itu semakin meningkat termasuk berjaya memulihkan sokongan rakyat kepada BN di banyak tempat.

"Cuma saya ingatkan masalah dalaman mesti kita bendung, jika tidak, ia boleh menggugat pencapaian kita.

"Saya dah kata bahawa kemenangan dua pertiga itu masih boleh dicapai dengan syarat tidak ada unsur dalaman yang boleh merosakkan pencapaian kita.

"(Masalah dalaman) Maknanya sabotaj atau mereka tidak bekerja dan sebagainya. Jika kita bersatu hati dan bekerja bersungguh-sungguh, tidak ada sebab BN tidak boleh menang dengan cemerlang kali ini," katanya kepada pemberita selepas berjumpa warga Kampung Baru Sungai Terentang di Rawang hari ini.

Najib berkata beliau melihat sokongan rakyat di Semenanjung iaitu di sesetengah tempat adalah baik manakala di sesetengah tempat lain pula BN perlu berusaha lagi untuk meraih sokongan rakyat.

"Setengah tempat yang kita tak fikir kita boleh buat kemaraan, kita dapat (sokongan), setengah tempat, masih memerlukan usaha berterusan.

"Jadi, masih ada masa seminggu lagi dan kita akan 'step up' usaha kita dan 'engagement' dan menyelesaikan beberapa perkara yang mungkin berkisar kepada isu-isu tempatan," katanya.

Di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang pula, perdana menteri berkata beliau melihat gelombang biru kecuali di Kelantan adalah gelombang merah, merupakan satu fenomena yang kuat bagi BN mencapai kejayaan dan mengembalikan negeri-negeri itu ke tangan BN.

"Walaupun kita tahu bukan mudah untuk menukar kerajaan di peringkat negeri, tetapi jentera kita bersemangat dan kita akan lakukan usaha yang terbaik untuk mencapai objektif itu," katanya.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.