Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Gred 'F' kad laporan prestasi k'jaan K'tan

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meletakkan gred F atau gagal untuk kad laporan prestasi kerajaan PAS Kelantan ekoran ketidakupayaan menyelesaikan beberapa masalah utama rakyat di negeri ini.

    

Beliau berkata adalah amat mendukacitakan dalam tempoh 23 tahun PAS memerintah Kelantan, tiada kemajuan daripada beberapa aspek seperti menyediakan peluang ekonomi dapat dikecapi di negeri berkenaan.

    

"Sebagai menteri pelajaran saya nak periksa 'report card' (kad laporan) Kelantan. Saya bagi F maknanya 'fail' (gagal) dan tak boleh terus pimpin negeri ini.

    

"Banyak janji mereka (PAS) tak ditunaikan dan banyak masalah tak diselesaikan," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 20,000 hadirin di Program Himpunan Rakyat 1Malaysia bersama TPM di Sekolah Kebangsaan Gemang Ayer Lanas di Jeli.

    

Muhyiddin meminta rakyat mengkaji dan meneliti prestasi PAS berdasarkan tiga faktor penting iaitu pembangunan infrastruktur, keupayaan menyediakan peluang ekonomi serta meningkatkan syiar Islam di negeri ini.

    

Turut hadir isteri Muhyiddin Puan Seri Noorainee Abdul Rahman, Menteri  Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga calon BN bagi Parlimen Jeli dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas.

Muhyiddin berkata sebahagian besar pembangunan infrastruktur di Kelantan dilaksanakan oleh kerajaan BN yang tidak mahu negeri itu ketinggalan berbanding negeri-negeri lain dalam misi Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

    

"Jalan-jalan kampung, kemudahan asas, bekalan air dan prasarana yang patut dimajukan tapi tak dilaksanakan. Namun mereka (kerajaan negeri) masih bercita-cita nak buat lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai," katanya.

    

Beliau berkata kerajaan negeri juga gagal menyediakan peluang pekerjaan untuk menjana ekonomi negeri ini dan memenuhi harapan rakyat yang mahu bekerja bagi meningkatkan pendapatan.

    

Di samping itu, Muhyiddin berkata PAS juga gagal memperjuangkan syiar Islam dan menegakkan serambi Mekah seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Menurutnya, PAS sepatutnya menegakkan perjuangan parti itu untuk membina negara Islam, namun perkara itu tidak pun dinyatakan di dalam manifesto parti itu.

"Bila PAS menyertai pakatan pembangkang sepatutnya mereka menegakkan perjuangan untuk bina negara Islam dan soal hudud diteruskan namun mereka mengorbankan apa yang selama ini diperjuangkan untuk tujuan politik," katanya.

Tambahnya, ekoran daripada kegagalan kerajaan negeri pimpinan PAS mentadbir Kelantan, rakyat mulai sedar dan insaf untuk beralih kepada kepimpinan BN yang mendahulukan rakyat.

    

Beliau berkata sejak dua tahun gelombang merah yang menjadi lambang kepimpinan BN memenuhi Kelantan, ia sudah mula menyerap ke dalam jiwa rakyat yang mahukan perubahan.

    

"Pembangkang seperti 'desperado' kerana pengaruh gelombang merah mula diterima rakyat di sini, makanya mereka buat pelbagai tohmahan kepada kepimpinan BN," katanya

    

- Bernama

ADS