Polis hari ini merekod kenyataan kesemua lebih 150 orang anggota Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) yang menjalankan piket ke atas menteri sumber manusia sementara Datuk Dr S Subramaniam.

Kesemua individu yang menyertai piket di Segamat itu dibawa ke ibu pejabat polis daerah berkenaan, kata setiausaha agung NUBE, J Solomon.

"Itu yang mereka beritahu saya pagi ini, supaya bawa semua anggota ke sini," kata Solomon di ibu pejabat polis tersebut.

Timbalannnya A Karuna pula berkata polis mengunjungi tempat penginapan mereka hari ini untuk merekod kenyataan daripada kesemua anggota kesatuan yang mengambil bahagian dalam piket tersebut.

"Kami beritahu mereka ini satu gangguan, dan kami beredar untuk berpiket pada jam 11 pagi.

"Ketika kami menjalankan piket, polis mahu kami bersurai dan turut menggunakan satu pasukan Unit Tindakan Ringan (LSF).

"Dia kata mereka akan gunakan kekerasan jika kami tidak bersurai, maka kami bersurai kerana tidak mahu anggota kami dikenakan tindakan keganasan," katanya.

Kesemua anggota yang menyertai piket tersebut kini membentuk dua barisan sambil menunggu giliran untuk diambil keterangan.

[Baca berita penuh]