Seorang pengundi yang meragukan didakwa dikesan di Parlimen Pandan, Selangor selepas namanya dibantah oleh ejen mengundi PKR, kata calon PKR di situ, Rafizi Ramli.
Beliau berkata seorang pengundi di Pandan, Seok Leong Yew memaklumkan kepada pasukannya mengenai pengundi yang meragukan di mana alamat berdaftarnya adalah sama seperti Seok.
"Kami telah diedarkan semua nombor IC yang mencurigakan kepada ejen mengundi kami. Jadi sebaik sahaja kerani mengundi membaca nombor kad pengenalannya, ejen mengundi kami membantah," katanya.
Ekoran bantahan ejen tersebut, pengundi yang meragukan beredar tanpa mengundi dan pihaknya tidak sempat menghentikannya.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di luar ibu pejabat polis Ampang sebelum membuat laporan mengenainya, Rafizi berkata, kejadian itu berlaku di pusat mengundi di sebuah sekolah agama di Taman Dagang.
Mengiringi Rafizi membuat laporan itu ialah Seok dan seorang lagi pengundi di Pandan, Sivaprakasam Kuruppiah, yang juga mendapat tahu hari ini bahawa terdapat pengundi yang tidak dikenalinya didaftarkan di alamat kediamannya.
Surat dialamatkan kepada 'hantu'
Seok memberitahu pemberita beliau menemui enam slip hantaran tangan dalam peti suratnya pada pukul 9 pagi ini apabila beliau pulang mengundi, yang memaklumkan kepada pengundi Pandan di rumah tersebut pusat dan saluran mengundi mereka.
Bagaimanapun, beliau tidak mengenali empat daripada enam di alamat tersebut, walaupun beliau telah tinggal di rumah itu sejak ia dibina 25 tahun lalu.
Sementara itu, Sivaprakasam berkata beliau menerima tiga slip arahan seperti itu, tetapi tidak mengenali dua daripada mereka, yang mengguna nama Cina.
Dia dan keluarganya, semua kaum India, telah tinggal di alamat itu selama 14 tahun di rumahnya yang dibinanya sendiri.
Walaupun tidak menolak kemungkinan kesilapan perkeranian di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Rafizi melahirkan kebimbangan mereka boleh menjadi pengundi hantu, terutama memandangkan aduan terbaru bahawa dakwat kekal untuk mengelak penipuan, dilaporkan oleh ramai pengundi boleh dibersihkan.
[Baca berita penuh]