Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Penyatuan nasional untuk atasi 'trend polarisasi'

Kerajaan BN akan melaksanakan usaha penyatuan nasional untuk mengeratkan hubungan antara rakyat negara ini yang berpecah-belah seperti yang dapat dilihat melalui "trend polarisasi" pengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kata perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi.

Beliau berkata pada minggu-minggu akan datang, para pemimpin BN akan membincangkan perkara itu sebagai langkah ke arah menggubal suatu dasar yang lebih bersifat sederhana serta diterima umum untuk menangkis amalan politik melampau, sikap perkauman serta pelampau agama.

Najib, yang juga pengerusi BN, menegaskan bahawa PRU13 mempamerkan pelbagai sentimen, sesetengahnya bersifat perkauman, yang menurut beliau "amat tidak sihat" untuk negara ini.

"Kami mahu rakyat sedar bahawa demi negara, amalan kesederhanaan perlu diterima sebagai dasar nasional kita," katanya pada sidang akhbar selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan BN mendapat majoriti mudah pada PRU13.

Najib berkata beliau tidak menduga keputusan PRU13 akan berlandaskan sikap perkauman, jauh sekali daripada mencapai peringkat seburuk itu.

Najib berkata sebagai sebuah parti politik, BN memiliki daya tahan, walaupun ia telah wujud sejak 55 tahun lepas kerana tidak banyak parti politik di dunia yang boleh mendakwa mampu mencapai rekod sebaik yang telah dicapainya.

Mengenai kekalahan Datuk Abdul Ghani Othman kepada penasihat DAP Lim Kit Siang di kerusi Parlimen Gelang Patah, Najib berkata ia bukan kerana faktor Menteri Besar Johor itu, tetapi lebih kepada faktor "tsunami kaum Cina", yang menyaksikan mereka lebih cenderung untuk menyokong pembangkang.

"Kami sudah berusaha dengan sedaya upaya, tapi ia tetap juga berlaku disebabkan beberapa faktor, khususnya ketiadaan sokongan masyarakat Cina terhadap BN.

"Oleh itu, apa yang kami rancang, tidak dapat sampai kepada mereka. Bagaimanapun, kami berpuas hati bahawa sekurang-kurangnya, kami dapat mengambil alih pentadbiran negeri Kedah," katanya.

Diminta mengulas tentang bantahan pembangkang berhubung proses pilihan raya, Najib berkata mereka boleh merujuk sebarang dakwaan itu kepada mahkamah dengan syarat mereka mempunyai bukti.

"Kita mempunyai sistem yang telus, mereka boleh merujuk kepada mahkamah, biarlah mahkamah yang membuat keputusan, tapi perkara paling penting ialah membenarkan kerajaan menjalankan tugasnya kerana kami mempunyai agenda besar untuk dilaksanakan iaitu komitmen kami terhadap rakyat Malaysia," katanya.

Najib berkata perkara paling utama bagi Malaysia ialah mempamerkan kepada dunia bahawa ia merupakan sebuah negara demokrasi yang matang.

"Walau apapun yang berlaku, keputusan rakyat, kehendak rakyat, perlu dihormati. Kami, dalam Barisan Nasional, menghormati kehendak rakyat," katanya.

Mengenai keputusan PRU13 di Terengganu, yang menyaksikan BN mengekalkan pentadbiran negeri itu dengan majoriti tipis, Najib berkata BN akan melakukan bedah siasat berhubung prestasinya itu.

Pada pilihan raya umum kali ini, BN kekal berkuasa di Terengganu dengan memperoleh majoriti mudah setelah memenangi hanya 17 daripada 32 kerusi DUN yang dipertandingkan.

- Bernama

ADS