Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
28 penceramah perhimpunan Pakatan akan disiasat kerana hasutan
Diterbitkan:  May 9, 2013 1:13 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata polis akan memanggil penganjur perhimpunan membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 di Stadium Kelana Jaya malam tadi bagi membantu siasatan.

   

Beliau berkata selain itu polis juga akan mendapatkan keterangan daripada para pemimpin Pakatan Rakyat yang berucap pada perhimpunan itu.

Katanya 28 daripada 33 pemimpin pakatan yang berucap pada perhimpunan itu didapati memberi ucapan berbau hasutan, yang menyalahi Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

   

Beliau berkata penganjur perhimpunan itu gagal mematuhi Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman iaitu memberi notis kepada pihak polis mengenai penganjuran perhimpunan itu, 10 hari sebelum  acara itu diadakan.

   

"12.20 tengah hari semalam kita terima notis, kita minta tunda supaya berlaku adil kepada penduduk  sekitar," katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Bagaimanapun, katanya pihak penganjur tetap meneruskan perhimpunan itu dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan kegusaran masyarakat sekeliling serta pengguna lebuh raya kerana sikap tidak bertanggungjawab peserta perhimpunan yang meletakkan kenderaan sesuka hati dan berlapis-lapis sehingga mengganggu aliran lalu lintas.

   

Tun Hisan berkata stadium Kelana Jaya itu hanya mampu menampung 25,000 orang dan mempunyai kira-kira 700 lot parkir dan menurutnya jika pihak penganjur mengikut peraturan, pihak polis boleh mencadangkan tempat yang lebih sesuai bagi penganjuran perhimpunan itu.

   

"Cuba bayangkan apa yang akan berlaku jika berlaku kecemasan dalam keadaan lalu lintas yang sesak. Ini menunjukkan mereka ini hanya mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan kesan perbuatan mereka ke atas masyarakat setempat", katanya.

   

Ketika ditanya mengapa penganjur boleh memaklumkan kepada orang-ramai lebih awal menerusi laman sosial mengenai penganjuran perhimpunan itu tetapi memilih tengah hari semalam untuk memberi notis kepada polis, Tun Hisan berkata mereka ini sebenarnya adalah golongan bijak dan terpelajar tetapi sengaja hendak mencabar undang-undang.

   

atanya polis ada menerima beberapa laporan polis mengenai insiden semalam termasuk daripada seorang wanita yang mendakwa keretanya dibaling dengan botol.

   

atanya belum ada sebarang tangkapan dibuat kerana pihak polis masih belum selesai membuat siasatan untuk dihantar kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya.

   

Tun Hisan berkata perhimpunan semalam akan turut disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana melibatkan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen dan ini merupakan satu kes yang berat kerana mereka yang disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

   

"Kita memandang berat kerana mereka secara terang-terangan melanggar undang-undang, tidak hormat kepada masyarakat setempat".

   

Beliau juga berkata penganjur dan peserta tidak boleh mempertahankan tindakan mereka sebagai hak asasi tanpa mempedulikan dengan hak asasi penduduk setempat dan juga anggota polis.

   

- Bernama

ADS