DAP menyifatkan MCA dan Gerakan bersifat kebudak-budakan kerana mengancam untuk menutup pusat khidmat masing-masing susulan kekalahan parti berkenaan di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng berkata parti itu tidak terkejut dengan perbuatan merajuk dan ancaman "kebudak-budakan" itu, susulan kekalah teruk parti berkenaan dalam pilihan raya umum 5 Mei.
"Reaksi oleh Gerakan dan MCA setelah kalah dalam pilihanraya samalah seperti seorang budak kecil yang mengamuk kerana tidak mendapat apa yang dia mahukan.
"Rakyat sudah muak dan menyampah dengan permainan yang kebudak-budakan ini. Jika MCA dan Gerakan boleh menutup pusat khidmat mereka, kenapa tidak MCA dan Gerakan umumkan sahaja yang mereka akan ‘tutup kedai’ terus?," katanya.
Beberapa pemimpin Gerakan dan MCA mengancam untuk menutup pusat khidmat berkenaan selepas parti berkenaan hanya berjaya hanya meraih lapan kerusi dalam pilihan raya tersebut.
Perkara itu diumumkan ketua penerangan Pemuda BN negeri H'ng Khoon Leng di laman Facebook, yang menyatakan bahawa Gerakan akan menutup semua pusat khidmat di Pulau Pinang dan tidak mempunyai sumber untuk menguruskan pusat berkenaan.
