Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi tolak gesaan agar PAS-Umno bersatu
Diterbitkan:  May 14, 2013 12:53 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

PAS dengan tegas menolak gesaan bekas timbalan presiden parti itu, Nasharuddin Mat Isa yang mahu parti itu bergabung dengan Umno demi kepentingan kaum Melayu.

Hadi dalam satu laporan Utusan Malaysia hari ini menyebut, cadangan itu hanya ditimbulkan oleh golongan yang terdesak – dipercayai merujuk kepada pencapaian buruk BN dalam pilihan raya umum 5 Mei.

“Itu orang tengah lemas, saya orang tepi laut tahulah. Orang tengah lemas, kita tak boleh pergi dekat, dia pergi dekat, dia (tarik) kita tenggelam sekali,” katanya seperti dipetik akhbar milik Umno itu.

Nasharuddin yang berucap dalam satu forum pada hari Ahad lalu mencadangkan demikian sebagai permulaan kepada “penyatuan semula nasional” yang dibangkitkan oleh pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak.

Najib menganjurkan perkara itu untuk mengatasi sikap pengundi, yang disebutnya sebagai "trend polarisasi" serta “tsunami Cina”, dalam pilihan raya tersebut.

Nasharuddin dalam forum bertajuk 'Post Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan Dan Survival Ummah' itu mencadangkan demikian kerana mahu proses penyatuan itu dimulakan di kalangan orang Melayu.

Gesaaan itu turut ditolak oleh ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan yang melihat bahawa perkara itu akan "menimbulkan fitnah serta menebalkan jurang persefahaman antara kedua-dua parti."

Nasruddin dalam satu laporan Sinar Harian Online berkata ia juga tidak akan berlaku memandangkan kerajaan BN menurutnya masih menindas rakyat.

Katanya, ia boleh dilihat dalam isu pemberian royalti minyak serta pembangunan di kawasan serta negeri yang dikuasai Pakatan.

“Isu penyatuan atau perpaduan itu tak ada sudahnya, kerap kali diulang dan diungkap.

“... seruan itu tak berfaedah, usah bermain dengan kata-kata, buktikan bahawa negara ini amalkan politik matang dulu, hormat-menghormati perbezan pandangan, hilangkan kekeliruan, kembalikan hak rakyat dan hapuskan penindasan, kemudian barulah cakap soal perpaduan itu,” katanya seperti dipetik laman tersebut.

ADS