Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Aziz sedia terus pegang mursyidul am PAS walau uzur

Bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia untuk terus memegang jawatan Mursyidul Am PAS walaupun tugas itu amat berat, dan dalam keadaannya yang uzur.

"Saya bersedia memegang jawatan itu jika saya diperlukan oleh parti. Tugas Mursyidul Am adalah suatu tugas yang amat berat yang terpaksa dipikul dan dilaksanakan mengikut cara Nabi Muhammad s.a.w mentadbir negara Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Jasamu Dikenang di Pusat Pentadbiran kerajaan Negeri Kota Darulnaim di Kota Bharu, hari ini.

Majlis itu, bagi menghargai dan meraikan sumbangan Nik Aziz yang berkhidmat sebagai Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun sejak 1990, turut dihadiri Menteri Besar Kelantan yang baharu Datuk Ahmad Yakob

Nik Aziz berkata, beliau tetap berazam akan terus melaksanakan misinya dalam memperjuangkan parti berlandaskan Islam walaupun bukan lagi menteri besar negeri itu.

Nik Aziz juga akan melepaskan jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan, jawatan yang disandang oleh menteri besar.

Sementara itu, Ahmad ketika ditemui pemberita, berkata beliau akan meneruskan dasar pentadbiran kerajaan negeri sebagaimana di bawah Nik Aziz.

Beliau berkata persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan selepas pilihan raya umum ke-13 dijangka diadakan Jun ini.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS