Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Bhd, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (UPE).

    

Beliau akan dilantik sebagai Senator pada 5 Jun, demikian umum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

    

Anak Johor berusia 49 tahun ini merupakan antara muka-muka baru dan salah seorang daripada dua teknokrat yang dipilih oleh Najib dalam barisan Kabinet barunya selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

    

Selain beliau teknokrat yang turut dilantik ialah Datuk Paul Low, daripada Transparency International dan bekas pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia.

    

Manakala Datuk Seri Idris Jala, daripada Shell, dikekalkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

    

Abdul Wahid, yang menerajui Maybank sejak 1 Mei, 2008, menggantikan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang tidak bertanding dalam pilihan raya pada 5 Mei lepas.

    

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Kay Roserina Mohd Kassim

 dan dikurniakan dua orang anak perempuan.

    

Pengalaman luas Abdul Wahid dalam pengurusan kewangan dan perbankan akan banyak membantu menerus dan merangka strategi bagi mencapai Wawasan 2020 dan menjadi negara perindustrian.

    

Abdul Wahid merupakan tokoh korporat berpengalaman dengan pengalaman selama 20 tahun dalam industri perbankan, memulakan kerjayanya sebagai Penolong Audit dalam KPMG Peat Marwick/Desa Megata & Co pada November 1987.

    

Pengalaman bekerja beliau termasuk bertugas di Bumiputra Merchant Bankers Bhd, Kumpulan Fima Bhd, Amanah Capital Partners Bhd dan UEM Bhd.

    

Pada 2004, beliau menerajui Telekom Malaysia Bhd yang selepas itu menjalani penjenamaan semula besar-besaran untuk mencerminkan entiti lebih dinamik.  

    

Beliau mengurangkan kos dan mengkhususkan program dalam syarikat gergasi telekomunikasi itu yang menyaksikan ia mencapai sasaran jualan dan keuntungan.

    

Beliau mengasingkan perniagaan mudah alih dan talian tetap syarikat itu menjadi unit berasingan dan mengembangkan perniagaan ke luar negara, membeli syarikat mudah alih di Indonesia, Singapura dan India.

    

Di bawah penerajuannya, outlet runcit TM ditukarkan menjadi TM Points, yang dilihat lebih dinamik, kondusif dan mesra pelanggan.

    

Di Maybank, meskipun menerima kritikan pada peringkat awal terhadap pembelian 56 peratus pegangan oleh bank itu dalam kumpulan perbankan keenam terbesar di Indonesia, Bank Internasional Indonesia, atau BII, dengan harga US$1.5 bilion oleh pengurusan sebelumnya, beliau tidak goyah dan berjaya

menukarkan BII menjadi satu pelaburan menguntungkan.

    

Beliau tidak diragui berjaya mengubah Maybank menjadi sebuah kumpulan yang utuh dan memacunya ke bahagian baharu dengan menjadikan bank tersebut peserta serantau serta membuat pengambilalihan serantau termasuk Kim Eng Securities.

    

Abdul Wahid juga memainkan peranan korporat utama dalam membantu membina hubungan komersil dengan negara-negara Afrika seperti Uganda dan Swaziland menerusi Dialog Antarabangsa Selatan Afrika dan Dialog Antarabangsa Langkawi.

- Bernama

ADS