Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah menjelaskan, beliau tidak bermaksud hendak berperang, sebaliknya menyarankan "transformasi daripada buruk kepada baik" apabila mengeluarkan pandangan kontroversi berhubung kuasa politik Melayu sebelum ini.

Menurutnya, istilah "jihad" yang dilontarkannya dalam satu forum hujung minggu lalu telah disalah anggap sebagai hendak "berperang" dan ia sebenarnya tanggapan semata-mata.

NONE "Apabila kita guna istilah jihad, persepsi orang ramai ialah untuk berperang. Ia bukan begitu, transformasi daripada yang buruk kepada yang baik, itu juga berjihad," katanya.

Tegasnya, beliau telah lama berjihad untuk menyelamatkan Malaysia daripada "kancah buatan sesama sendiri".

"Macam saya, saya sayangkan anak bangsa saya, anak saya, cucu saya, keturunan saya, semua rakyat Malaysia ini. Yang saya takut ialah bencana buatan sendiri sesama kita.

"Jadi saya berjihad untuk menyelamatkan orang Malaysia ini daripada terjerumus ke dalam kancah pergaduhan sesama kita," jelasnya dalam wawancara "Helo Malaysia" di saluran Bernama TV pada Rabu malam.

'Beri peluang saya terangkan'

Mohd Noor dalam satu forum Ahad lalu lalu mencuri perhatian apabila mengingatkan orang Melayu agar berwaspada dengan "pengkhianatan orang Cina" ekoran keputusan pilihan raya 5 Mei lalu.

"Pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setia kawan orang Melayu itu adalah benar oleh kerana mereka merancang untuk merampas kuasa politik setelah membolot kuasa ekonomi," katanya hujung minggu lalu.

NONE "...Bagi orang Melayu, pantang larangnya, jangan dikhianati orang Melayu. Oleh kerana orang Melayu bila dikhianati, dia membalas dendam kesumatnya tak sudah-sudah," katanya lagi.

Kenyataannya itu diselar Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai berbaur perkauman dan lebih teruk daripada kumpulan pelampau kulit putih Klu Klux Klan.

Setiausaha Biro Guaman DAP, Gobind Singh Deo pula menggesa agar Mohd Noor didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.

Mengulas reaksi negatif terhadapnya itu, Mohd Noor percaya hanya ahli-ahli politik sahaja yang menganggapnya perkauman sedangkan kenyataannya sebelum ini dirumuskan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

"Orang politik melihat sesuatu kenyataan itu daripada pandangan kaca mata sempit.

"Saya ini hendak menerangkan sesuatu menurut perlembagaan (jadi) sepatutnya diberi peluang untuk rakyat mendengar.

"Bukan ditutup mulut saya dengan mengatakan Datuk Mohd Noor rasis, Datuk Mohd Noor Klu Klux Klan, Datuk Mohd Noor itu Hitler, janganlah macam itu.

"Berilah saya (peluang) untuk menerangkan apakah parameter dalam perlembagaan yang menjamin rakyat hidup aman damai," katanya lagi.

ADS