Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO: Himpunan bantah penipuan p'raya bukan 18 Mei
Diterbitkan:  May 16, 2013 12:23 PM
Dikemaskini: 4:25 AM

Kumpulan aktivis yang merancang untuk menghimpunkan seramai sejuta orang bagi membantah penipuan pilihan raya berkata perhimpunan tersebut akan diadakan pada satu tarikh lain dan bukannya pada 18 Mei.

Kumpulan aktivis pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan juga NGO Solidariti Anak Muda Malaysia dalam satu kenyataan hari ini menyebut, mereka memerlukan lebih banyak masa untuk menghimpunkan sejuta orang ke perhimpunan tersebut.

“...Gerakan ini perlu sedikit penyusunan untuk memastikan lebih 1,000,000 rakyat bersedia. Satu tarikh baru akan diumum tetapi ia pasti dalam masa terdekat, mungkin dalam bulan yang sama,” kenyataan itu dipetik.

Kenyataan itu timbul ekoran amaran keras oleh pasukan polis semalam yang akan bertindak tegas ke atas penganjur perhimpunan yang mengajak rakyat turun ke jalan raya bagi menggulingkan kerajaan yang sah.

Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar dalam laporan Bernama semalam menyifatkan tindakan penganjur itu sebagai provokasi untuk menghasut rakyat dan boleh menimbulkan kekacauan.

Laporan Utusan Malaysia pula hari ini memetik kenyataan NGO pro-Melayu PERKASA yang mengecam tindakan aktivis politik Hishamuddin Rais – salah seorang individu yang hadir semasa isu perhimpunan tersebut dibangkitkan dalam satu perbincangan antara pemimpin NGO pada Isnin lalu.

Pemimpin PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berkata tindakan Hishamuddin, yang didakwa bertanggungjawab mengajak rakyat turun ke jalan itu, mencabar perlembagaan serta keselamatan negara.

Maka tindakan berbahaya itu tidak boleh dibiarkan, katanya lagi yang mahu polis segera mengambil tindakan ke atas Hishamuddin.

ADS