Kabinet baru Persekutuan angkat sumpah jawatan

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mendahului barisan menteri dan timbalan menteri yang dilantik semalam, mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di ibu negara.

Upacara penuh istiadat itu disaksikan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. Turut hadir menyaksikan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Upacara yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara itu bermula pukul 10.10 pagi sejurus keberangkatan masuk Seri Paduka Baginda berdua.

Upacara bermula dengan penerimaan surat cara pelantikan oleh Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi 1.

Beliau kemudian melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Selepas Muhyiddin, enam menteri kanan iaitu Datuk Seri G Palanivel (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Menteri Pelancongan dan Kebudayaan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Pertahanan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta simpan rahsia masing-masing, diketuai Mohamed Nazri.

Selepas itu, acara penyerahan surat cara pelantikan serta melafaz sumpah jawatan dan taat setia bagi menteri dan timbalan menteri dijalankan secara berkumpulan seramai enam orang.

Ini dimulakan dengan Datuk Seri Douglas Uggah Embas (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Dalam Negeri), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Menteri Komunikasi dan Multimedia), Datuk Seri Dr S. Subramaniam (Menteri Kesihatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (Menteri Kewangan II).

Mereka disusuli kumpulan kedua iaitu Datuk Seri Anifah Aman (Menteri Luar), empat Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Idris Jala, Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Joseph Entulu Belaun, dan Datuk Rohani Abdul Karim (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Ini diikuti kumpulan Datuk Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya), Datuk Hasan Malek (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan), Datuk Richard Riot Jaem (Menteri Sumber Manusia), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Menteri Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Idris Jusoh (Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II) dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Barisan terakhir ialah Datuk Paul Low Seng Kwan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Menteri Belia dan Sukan), Datuk Abdul Rahman Dahlan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Nancy Shukri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Dr Ewon Ebin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

Seramai 24 timbalan menteri turut mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan masing-masing hari ini.

Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Seri Noorainee Abdul Rahman, dif-dif kehormat dan para jemputan yang kebanyakannya anggota keluarga barisan kabinet.

Najib telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Jumaat, 6 Mei.

Semasa mengumumkan anggota jemaah menteri yang baharu semalam, Najib berkata ia terdiri daripada mereka yang berpengalaman, teknokrat dan wakil golongan muda yang diyakini mampu meneruskan agenda transformasi nasional.

Pada pilihan raya umum ke-13 5 Mei lepas, Barisan Nasional kekal berkuasa dengan memenangi 133 daripada 222 kerusi parlimen bagi membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.

Selepas upacara itu, Tuanku Abdul Halim berkenan bersama-sama Najib serta barisan menteri kabinet dan timbalan-timbalan menteri untuk sesi bergambar.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.