Tan Sri Ismail serah tugas IGP pada timbalannya

Tan Sri Ismail Omar hari ini menyerahkan jawatan Ketua Polis Negara kepada timbalannya Tan Sri Khalid Abu Bakar yang akan secara rasmi memulakan tugas baharunya sebagai peneraju Polis Diraja
Malaysia (PDRM) esok.

Majlis serah terima tugas yang berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, di ibu negara itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Keselamatan Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim.

Ismail, yang menyertai PDRM pada 1971, dilantik sebagai Ketua Polis Negara mulai 13 September 2010 sebelum bersara wajib pada 2011. Pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak tamat hari ini.

Pada majlis sama, acara menandatangani surat serah dan terima jawatan turut berlangsung antara Khalid dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara juga berkuat kuasa esok.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ismail merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas peluang yang telah diberikan kepadanya untuk menerajui PDRM.

Menurutnya, kenangan dan pencapaian sepanjang berkhidmat menerajui PDRM tidak akan dilupakan, terutama dalam menangani ancaman pengganas di pantai timur Sabah dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia.

Saya amat berpuas hati dengan pencapaian PDRM terutama dalam soal menurunkan indeks jenayah.

"Dan apa yang tidak dapat saya lupakan ialah cabaran menangani pengganas di Sabah beberapa bulan lepas yang mana saya dan Panglima Angkatan Tentera (Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin) cuba sedaya upaya kami menumpaskan pengganas seterusnya mengekalkan keselamatan negara," katanya.

Terdahulu, ketibaan Ismail pada kira-kira 8.30 pagi disambut dengan persembahan kumpulan pancaragam PDRM serta kira-kira 5,000 pegawai dan anggota polis di Dataran Kawad Pulapol.

Sepanjang kariernya di PDRM, Ismail pernah menyandang beberapa jawatan, antaranya Pegawai Pendakwa di Mahkamah Ipoh, Perak pada 1994, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (1996) dan Ketua Penolong Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (2005).

Jawatan lain ialah Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (2005), Ketua Polis Selangor (2006), Pengarah Pengurusan Polis Bukit Aman (2007), Timbalan Ketua Polis Negara (2007) dan Ketua Polis Negara (2010).

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.