Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kabinet paling tak menarik dalam sejarah M'sia'

Barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam adalah yang paling tidak menarik jika dibandingkan dengan kesemua Perdana Menteri Malaysia sepanjang 56 tahun sejarah negara.

Malah ia telah menyerlahkan perbezaan besar antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional di dalam pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini - yakni Pakatan Rakyat menjunjung harapan dan visi politik baru untuk Malaysia manakala Barisan Nasional mewakili politik tua, lelah dan politik kaum, ketakutan, korupsi, salahguna kuasa dan ketidakadilan.

Ketidakadilan di dalam keputusan PRU13 dan persoalan buat pertama kalinya di dalam sejarah Malaysia berkenaan legitimasi perdana menteri telah melahirkan secara spontan gerakan kesedaran politik "hitam" di dalam negara, seperti yang disaksikan pada 30,000 orang di perhimpunan "Black 505" di Ulu Tiram, Johor Bahru malam semalam, diikuti dengan kehadiran besar di satu lagi perhimpunan "Black 505" di Kelana Jaya, Pulau Pinang, Ipoh dan Kuantan, mendapat sokongan daripada rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan kawasan melihatkan kekuatan generasi muda Malaysia yang sehingga sekarang begitu sedih dengan politik dan perkembangan politik negara.

Rakyat Malaysia, terutamanya orang muda tidak mengira kaum, agama dan jantina, marah dengan ketidakadilan sistem demokrasi dan pilihan raya menyatakan pendirian terhadap kekecewaan dan kemarahan pada keputusan PRU13 juga terhadap legitimasi Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri, memandangkan mereka rasa dirompak hak asasi demokrasi mereka untuk menentukan masa depan politik negara.

Pertama, majoriti 51 peratus undi popular menyokong Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia, sementara Najib dan Barisan Nasional Berjaya mendapat hanya 47% undi popular.

Kedua, sekiranya PRU13 bersih, bebas dan adil, undi popular Pakatan Rakyat dan Anwar tentu telah melebihi daripada 60 peratus malah mencecah lebih 65%, juga memenangi majoriti daripada 222 kerusi parlimen di dalam negara.

Ketiga, Kabinet yang diumumkan oleh Najib semalam telah menambah lagi ketidakabsahan Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas PRU13.

Kabinet yang diumumkan Najib semalam tidak ragu lagi Kabinet paling tidak menarik antara semua keenam-enam Perdana Menteri di dalam 56 tahun sejarah negara.

Ia bukanlah Kabinet untuk semua rakyat Malaysia, kerana sasarannya ialah bagi memastikan Najib dapat berjaya dalam perebutan kuasa di dalam Umno hujung tahun ini ketika pemilihan parti Umno.

Terdapat 10 Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan lapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, lebih empat menteri berbanding Jabatan Perdana Menteri di dalam Kabinet lepas.

Ini tidak masuk akal dan mengembangkan Kabinet, bukan saja tidak produktif malah menunjukkan kurangnya professionalisme dalam penetapan Kabinet, dengan bilangan keseluruhan Menteri di Jabatan PM mewakili satu pertiga Kabinet - yang pasti satu-satunya sedemikian di seluruh dunia.

Saya tertarik dengan pertukaran jawatan Kabinet antara Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, terutama selepas Hishammuddin telah gagal sebagai Menteri Dalam Negeri untuk mengurangkan jenayah, membasmi ketakutan terhadap jenayah yang menghantui rakyat Malaysia, kedua-duanya paling teruk di Johor Bahru yang telah menjadi ibu negeri jenayah di Malaysia.

Saya akan berusaha untuk bertemu dengan Ahmad Zahid untuk mengetahui sama ada beliau mempunyai sebarang strategi untuk membasmi reputasi buruk Johor Bahru sebagai ibu negeri jenayah di Malaysia, dan sekiranya beliau tidak mampu untuk menghasilkan sebarang kesan dalam mengurangkan jenayah dan ketakutan terhadap jenayah serta membuang reputasi buruk ibu negeri jenayah dari Johor, beliau sepatutnya mengakui kegagalannya memohon perubahan dalam portfolio Kabinet.

Satu kejutan apabila perlantikan P Waythamoorthy sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri. Saya pernah tertanya mengapa Waytha telah datang ke Gelang Patah beberapa hari sewaktu PRU13 untuk berkempen secara terbuka menentang saya, menyertai pasukan Barisan Nasional yang diketuai bekas Perdana Menteri Tun Mahathir yang mahu "menguburkan" saya di Gelang Patah.

Saya terkejut kerana saya tidak ada sebarang konflik di masa lalu dengan Waytha, akan tetapi kini saya faham mengapa dia berada di Gelang Patah untuk membantu BN berkempen untuk menewaskan saya - jelas itu merupakan sebahagian daripada tawar menawarnya dalam perjanjiannya dengan Najib. Saya berasa sedih untuk Waytha kerana dia telah menjadi tumpuan penghinaan dan kebencian terhadap apa yang dia telah lakukan.

Perlantikan Datuk Paul Low sebagai menteri di Jabatan PM ialah satu lagi kejutan, walaupun saya tidak pasti sama ada ia akhirnya akan memudaratkan Najib atau Paul Low, memandangkan perlantikannya dikatakan mencerminkan komitmen Najib untuk membasmi rasuah di dalam negara.

Najib menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya pada 20 Febuari, menyatakan komitmen untuk memerhati dan patuh dengan empat prinsip apabila bertanding di dalam pilihan raya umum ke-13, yakni:

  • Kebenaran, integriti, tatalaku beretika dan akauntabiliti, termasuk tidak menerima atau memberi rasuah atau terlibat dengan amalan rasuah dalam apa jua cara;
  • Mendukung dan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat secara keseluruhan;
  • Tadbir urus yang baik serta ketelusan; dan
  • Mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan Malaysia.

Najib telah mengingkari semua keempat-empat prinsip Ikrar Integriti Pilihan Raya TI-M banyak kali sepanjang 15 hari kempen PRU13.

Pada soalan pertama saya akan tanya kepada Paul Low di dalam sidang Parlimen ke-13 ialah untuk memberi laporan penuh pengingkaran dan pelanggaran Ikrar Integriti Pilihan Raya TI-M oleh Najib dan Menteri Barisan Nasional ketika dan selepas pilihan raya umum ke-13.

Saya memberikan Paul Low notis awal supaya beliau dapat segera memulakan siasatan supaya beliau dapat memberikan jawapan memuaskan kepada soalan ini pada minggu pertama sidang Parlimen ke-13

Komen pertama Najib selepas keputusan PRU13 ialah keputusan PRU13 berpunca daripada tsunami Cina dan beliau mengatakan tentang perlunya "perdamaian nasional".

Keputusan PRU13 ini bukannya tsunami Cina tetapi tsunami rakyat Malaysia dan penduduk bandar. Najib dan pemimpin UMNO/BN yang telah memecah-belahkan negara dan mewujudkan keperluan untuk "perdamaian nasional".

Pada sidang pertama Kabinet baru, Paul Low sepatutnya menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk perdamaian nasional selepas PRU13, dan syarat-syaratnya mestilah termasuk siasatan penuh terhadap semua penipuan pilihan raya, penyelewengan, salahguna kuasa yang telah membuatkan "perdamaian nasional" penting dan mendesak.

RCI untuk Perdamaian Nasional sepatutnya diketuai oleh Pengerusi BERSIH Ambiga Sreenevasan.

Saya harap Paul Low akan mengangkat isu-isu ini di dalam Kerajaan dan Kabinet Najib.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini .

 

ADS