Hari guru disambut sederhana namun meriah

Sambutan Hari Guru bertemakan 'Guru Malaysia: 1Aspirasi 1Agenda' yang diraikan hari ini bagi mengenang jasa dan pengorbanan guru dalam mendidik anak bangsa, disambut secara sederhana namun
meriah.

Tinjauan Bernama di beberapa sekolah sekitar ibu kota mendapati ada sekolah menunda sambutan Hari Guru kerana pelajar sedang menduduki peperiksaan namun ada juga yang meraikan sambutan itu hari ini.

Antaranya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Kwok, Jalan Raja Laut yang akan menyambutnya pada 23 Mei kerana mahu pelajar memberi tumpuan kepada peperiksaan pertengahan tahun yang sedang diadakan.

Di Sekolah Pendidikan Khas Cacat Penglihatan (SPKCP) Jalan Batu di Kuala Lumpur, sambutan Hari Guru meriah dengan hilai tawa serta nyanyian lagu 'Terima Kasih Cikgu' oleh 38 pelajarnya diketuai adik Nurul Khairinna Ramlan, 8.

Pengetua SPKCP Ahmad Baki Musli memberitahu Bernama, kekurangan deria penglihatan bukanlah penghalang pelajarnya turut serta dalam acara tahunan itu, namun mereka lebih bersemangat dan persediaan dilakukan lebih awal.

Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Appar, Jalan Raja Laut pula menyambutnya selepas waktu rehat kerana 107 pelajarnya menduduki peperiksaan pertengahan tahun di sebelah pagi.

Sambutan bermula 11 pagi dengan pelajar berhimpun di perkarangan sekolah dan menyanyikan lagu Negaraku diikuti ucapan pengetua K K Peramah dan bacaan amanat menteri pelajaran oleh pengetua.

Peramah berkata seluruh warga sekolah bersemangat menyambut Hari Guru termasuk ibu bapa pelajar yang hadir menghantar makanan dan turut membantu menghias kelas masing-masing.

"Semua pelajar dan guru serta ibu bapa bekerjasama menjayakan majlis hari ini dan walaupun mereka sedang menduduki peperiksaan, sambutan tetap meriah," katanya.

Bagi Suvarnemugi Subramaniam, 12, sambutan Hari Guru amat bermakna: "Saya mahu kenang jasa guru yang telah mendidik dan membimbing saya, dan saya adalah antara harapan guru dan ibu bapa untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR akan datang".

Rakannya, Naagadarsenee Chandran, yang memasang impian bergelar profesor berazam untuk membalas jasa gurunya dengan menghadiahkan markah penuh 7A dalam peperiksaan UPSR.

Di GEORGE TOWN, tokoh guru swasta Pulau Pinang A Valliammal berkata guru sekolah pendidikan khas perlu mengamalkan sikap kerja berpasukan dan sentiasa bertukar idea antara satu sama lain bagi mencari kaedah pembelajaran untuk mendidik pelajar istimewa.

"Cabaran mendidik pelajar istimewa berbeza dengan mengajar di sekolah biasa kerana itu sokongan dan bantuan daripada rakan tenaga pengajar lain amat perlu untuk meningkatkan motivasi diri dan barulah kita sentiasa bersemangat untuk bekerja," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Sambutan Hari Sukan ke-46 Sekolah Spastik Pulau Pinang di Georgetown hari ini.

Valliammal, 65, berkhidmat di sekolah itu sejak 1975 berkata guru juga perlu sentiasa kreatif meneroka teknik pengajaran baru selari dengan senario pendidikan sekarang yang turut dipengaruhi pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi.

Katanya guru juga perlu ikhlas dan menganggap pelajar istimewa seperti anak sendiri bagi memastikan ilmu yang disampaikan itu berkesan dan melekat di hati mereka.

"Sekiranya setiap guru mengamalkan sifat sedemikian, tidak timbul masalah tekanan atau beban kerja kerana kita bekerja kerana minat mendalam untuk memberi ilmu kepada pewaris negara kita," katanya.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.