Berakhirnya 30 tahun perjalanan politik Koh Tsu Koon

Setelah menceburkan diri dalam arena politik selama lebih 30 tahun, hari ini secara rasminya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengundurkan diri meletak jawatan sebagai Presiden Gerakan, satu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN).

Koh, 64, seorang ahli akademik, mula menceburkan diri dalam bidang politik apabila menyertai Gerakan pada tahun 1982 di bawah kepimpinan mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik.

Beliau bertanding buat pertama kali pada pilihan raya Umum (PRU) Keenam pada April 1982 dan menjadi anggota Parlimen Tanjong, Pulau Pinang selepas mengalahkan Chian Heng Kai @ Chin Soo Ha (DAP) dengan majoriti 834 undi.

Karier politiknya dalam parti mula berkembang apabila dilantik sebagai pengerusi kebangsaan Sayap Pemuda Gerakan pada 1983 hingga Jun 1990, pengerusi Gerakan Bahagian Tanjong dan anggota Jawatankuasa Pusat Gerakan (1984).

Bapa kepada seorang anak lelaki dan perempuan itu kemudian gagal mempertahan kerusi Tanjong apabila kalah kepada Lim Kit Siang (DAP) pada PRU 7, 1986 dengan majoriti 11,690 undi.

Bagaimanapun, kariernya tidak berakhir apabila dilantik sebagai Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, mendiang Tun Dr Lim Chong Eu pada September 1986 hingga 1990.

Selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Bunga pada PRU 9 pada Oktober 1990, Koh kemudian dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketiga.

Pada 2007, beliau memangku tugas presiden Gerakan apabila Keng Yaik mengumumkan persaraannya, setahun kemudian, beliau dipilih tanpa bertanding sebagai presiden untuk penggal 2008/2011.

Pada PRU 2008, Koh memutuskan untuk tidak bertanding bagi kerusi DUN, sebaliknya bertanding bagi kerusi parlimen Batu Kawan, bagaimanapun, beliau kalah kepada calon DAP, P Ramasamy.

Beliau kemudian mengangkat sumpah sebagai Senator dan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi) dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009.

Pada 17 Nov 2011, Koh mengumumkan tidak akan bertanding pada PRU13, sama ada untuk kerusi parlimen mahupun kerusi negeri.

Perjalanan kariernya kemudian teruji apabila Gerakan hanya menang satu kerusi parlimen (Simpang Renggam, Johor) daripada 11 kerusi yang ditandingi pada 5 Mei lepas, manakala untuk kerusi DUN, parti itu hanya memperoleh tiga kerusi (Sidam, Kedah), (Pemanis, Johor) dan Tanjong Papat di Sabah daripada 31 kerusi yang dipertandingkan.

Pada PRU 2008, parti itu menang dua kerusi parlimen dan empat kerusi DUN.

Menyedari bahawa kekalahan teruk itu atas tanggungjawab beliau, Sabtu lepas, beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden Gerakan berkuat kuasa hari ini.

Jawatan presiden itu kini dipangku timbalannya Datuk Chang Ko Youn sementara menunggu pemilihan parti pada 26 Oktober.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.