Pemilihan pucuk pimpinan Umno hujung tahun ini

Seramai 146,500 perwakilan Umno daripada 161 bahagian di seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pimpinan parti pada akhir tahun ini selaras dengan pindaan perlembagaan parti pada 2009.
    
Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan menyifatkan pemilihan kali ini lebih demokratik kerana pemilihan pemimpin tidak terletak di tangan sekumpulan perwakilan seperti sebelumnya.
    
Justeru beliau yakin pemilihan Umno tidak akan menimbulkan sebarang kekecohan seperti yang berlaku dalam parti pakatan rakyat.
    
"Lantai demokrasi Umno akan terbuka dengan lebih meluas apabila tiada lagi fasal dalam perlembagaan yang selama ini tidak memihak dan tidak memberikan akses kepada golongan tertentu untuk terlibat secara langsung dalam pemilihan parti.
    
"Dahulu kita hanya memperuntukkan 2,500 perwakilan sahaja untuk menentukan pucuk kepimpinan parti, namun kali ini ia  ditambah menjadi 146,500 yang mana pemilihan bermula di peringkat cawangan terlebih dahulu," katanya ketika ditemui pemberita di Putrajaya hari ini.
    
Perhimpunan Agung Khas Umno pada Oktober 2009 meluluskan pindaan perlembagaan iaitu 146,500 perwakilan bakal menentukan kepemimpinan Umno dengan menghapuskan sistem kuota, persidangan mesyuarat perwakilan secara serentak dan juga menambah bilangan ahli jawatankuasa lantikan Wanita.
    
Selain itu Umno juga meluluskan untuk menjadikan yuran keahlian sebagai yuran seumur hidup, memberi kuasa kepada Pemuda, Wanita dan Puteri untuk meluluskan keahlian baru Umno dan mengiktiraf sumbangan setiausaha bahagian.
    
Ahmad berkata pindaan tersebut adalah sebahagian daripada proses transformasi parti bagi membolehkan Umno lebih demokratik, telus dan inklusif, bagaimanapun cara pemilihan dan pengundian masih dalam proses penambahbaikan.
    
Mengulas lanjut mengenai mesyuarat dan pemilihan di peringkat cawangan Umno yang dijangka dibuat dalam masa terdekat, Ahmad berkata, semua pihak perlu mengambil iktibar dalam apa yang terjadi semasa pilihan raya umum ke-13.
    
"Kita tidak mahu lagi berlakunya perpecahan di kalangan ahli Umno, apa yang penting ialah parti kembali memenangi hati rakyat dan sekali gus dapat menguatkan jentera bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang," katanya.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.