Tiga pengarah, seorang bekas pengarah Genneva dibebas

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam melepas serta membebaskan tiga pengarah dan seorang bekas pengarah sebuah syarikat pelaburan jongkong emas daripada 224 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan urus niaga melebihi RM100 juta.
    
Hakim Datuk Rozana Ali Yusuff membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Ng Poh Weng, 63, Marcus Yee Yuen Seng, 61, Chin Wai Leong, 37, dan Liew Chee Wah, 59, berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
    
Ng, Yee dan Chin diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan K.Selva Kumaran manakala Liew oleh Keppy Wong.
    
Timbalan Pendakwa Raya Mardziatun Nisa Ahamadul Kabir kemudian memaklumkan mahkamah pendakwaan akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.
    
Beliau juga memohon pelaksanaan keputusan berhubung emas dan wang syarikat Genneva Sdn Bhd (GSB) yang sebelum ini dibekukan, ditangguhkan sementara menunggu rayuan.
    
Mahkamah akan mendengar permohonan itu esok.

Dalam penghakimannya, Rozana memutuskan syarikat itu tidak menjalankan sebarang aktiviti atau urus niaga yang tergolong dalam kategori pengambilan deposit secara haram.
    
Beliau berkata keterangan pembelaan dan bukti yang dikemuka menunjukkan GSB menjalankan perniagaan jual beli emas secara fizikal serta perniagaannya wujud dan bukan rekaan semata-mata.
    
Katanya, pendakwaan cuba membuktikan konsep jaminan beli semula atau 'buy-back guarantee' (BBG) sebagai mekanisme penerimaan deposit kerana menjanjikan pemulangan dan keuntungan pelaburan yang banyak.    
    
Bagaimanapun, Rozana berkata mahkamah berpendapat diskaun atau rebet dan BBG serta konsep lantikan ejen merupakan satu bentuk promosi dan strategi perniagaan bagi menarik pelanggan untuk membeli dan menanam keyakinan ke atas emas yang dijualnya.
    
Beliau berkata GSB, melalui BBG, memberi pilihan kepada pelanggan sama ada menjual semula emas kepada syarikat itu, menjualnya kepada yang lain, menyimpan sendiri atau membenarkan GSB menyimpan bagi pihak mereka.
    
"Bukti keterangan ini menampakkan corak perniagaan GSB menjalankan aktiviti perniagaan jual beli emas sepertimana yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia.

"Mahkamah tidak seharusnya menilai sama ada BBG merupakan strategi perniagaan yang salah, mengandaikan kerugian yang akan dialami oleh pembeli ataupun menetapkan bila masa sesuai untuk jual beli kerana setiap perniagaan mempunyai strategi masing-masing, dan syarikat tersebut yang akan menanggung untung rugi.

"Transaksi aliran keluar masuk yang dibuat oleh kesemua tertuduh melalui akaun-akaun yang dinyatakan di dalam peruntukan adalah dibuat bagi tujuan pengendalian jual beli emas secara terus, bukannya wang penerimaan deposit daripada orang awam, dan bukan daripada hasil aktiviti haram," kata Rozana.
    
Bagi pengubahan wang haram, Ng berdepan 93 pertuduhan, Yee 40 pertuduhan, Chin 61 pertuduhan manakala Liew 30.
    
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Berhad Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang antara Julai 2008 dan Jun 2009 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta, jika sabit kesalahan.
    
Mereka juga berdepan lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen sah mengikut Seksyen 103(1)(a) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama antara November 2008 dan Julai 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) akan memfailkan notis rayuan berhubung kes Genneva Sdn Bhd di Mahkamah Sesyen hari ini
    
Bank pusat itu dalam satu kenyataan berkata Kamar Peguam Negara telah bersetuju BNM memfailkan notis rayuan.
    
Kamar Peguam Negara dan BNM tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen untuk membebaskan Genneva Sdn Bhd dan pengarah-pengarahnya daripada pertuduhan pada hari ini
    
BNM juga akan memohon supaya aset syarikat terus disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 sementara menantikan keputusan rayuan. Genneva telah dikenakan pertuduhan pada Oktober 2010
    
Syarikat ini telah disiasat susulan terdapatnya aduan daripada orang ramai.
    
Siasatan kini telah selesai dan laporannya akan diserahkan kepada Kamar Peguam Negara.
    
Genneva Sdn Bhd ialah entiti berasingan daripada Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia) yang disiasat secara bersama oleh Bank Negara Malaysia dan agensi berkaitan.  
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.