Guru meninggal dunia ketika sambutan hari guru

Seorang guru wanita meninggal dunia selepas mengalami serangan sakit jantung ketika menyertai sukaneka sempena sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Pendang semalam.
    
Dalam kejadian pada jam 11 pagi, mangsa Che Maznah Mad Isa, 56, yang dikatakan menyertai permainan kerusi berirama di dewan sekolah, tiba-tiba rebah sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Pendang oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).
    
Suami mangsa, Sudarji Shatry, 53, berkata dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kematian isterinya.
    
"Arwah sebelum ini tidak pernah mempunyai sebarang penyakit kritikal dan tidak pernah mengadu sakit," katanya kepada pemberita di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar semalam.
    
Che Maznah yang mengajar subjek Matematik, berkhidmat selama 32 tahun di sekolah itu dan disifatkan seorang guru yang tegas.
    
Arwah berasal dari Alor Setar, menetap di Kampung Banggol Petai Luar, Pendang dan mempunyai tiga orang anak.
    
Mayat mangsa dihantar ke HSB untuk bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Pendang.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.