KJ: Saya bukan menteri bola sepak sahaja

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menegaskan beliau bukan hanya menteri bola sepak yang hanya memberi perhatian kepada sukan nombor satu itu semata-mata.

Sebaliknya tugas beliau sebagai menteri sukan perlu "memberi keutamaan kepada setiap sukan secara adil" untuk diberi perhatian sewajarnya demi kecemerlangan sukan di negara ini.

"Saya sudah bersedia untuk menerima sebarang kritikan apabila pasukan (bola sepak) kita kalah.

"Itu biasa (kalau) menang pujian ke tempat lain. Kalau kalah disalahkan kita. Itu normal. Yang penting saya beri keutamaan kepada setiap sukan secara adil.

"Saya bukan menteri bola sepak, saya menteri sukan. Pada masa yang sama, kita perlu lihat sukan berprestasi tinggi dan sukan paling popular," katanya sambil diringi ketawa kecil wartawan sewaktu sidang media di kementeriannya hari ini.

Sehubungan itu, Khairy yang juga ahli parlimen Rembau memohon sedikit masa untuk melihat "apa yang boleh dibuat" dalam bidang sukan tersebut.

"Insya-Allah, saya akan memberi perhatian," katanya.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung cabaran yang bakal didepaninya khususnya dalam sukan bola sepak seperti yang dicapai sewaktu pentadbiran bekas menteri Datuk Seri Ahmad Shabeery Cheek sebelum ini di mana skuad negara yang berjaya merangkul kejuaraan Piala Suzuki AFF.

Mengulas mengenai cadangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mencadangkan supaya negara Asean termasuk Malaysia bersama-sama membida bagi mendapatkan hak penganjuran Bola Sepak Piala Dunia, Khairy berkata perkara itu merupakan satu idea yang baik.

Katanya, bidaan untuk penganjuran kejohanan itu oleh negara rantau Asean dilihat "lebih serius" daripada beberapa buah negara sahaja, memandangkan tidak ada negara di rantau itu menjadi gergasi bola sepak di peringkat dunia.

"Kita bida bersama-sama adalah satu idea yang baik. Insya-Allah saya akan mengadap, jika tidak presiden, (mungkin) Tengku Abdullah untuk lebih memahami hasrat dan idea FAM itu," katanya.

Menurut Khairy yang juga ketua Pemuda Umno lagi, beliau "lebih mempercayai" pembangunan sukan yang jelas khususnya di peringkat komuniti dan daerah bagi melahirkan atlit yang berjaya termasuk sukan bola sepak.

"Kita mesti buktikan kepada rakyat tentang pembangunan sukan yang jelas. Saya percaya sungguh tentang pembangunan sukan dan pembangunan melalui komuniti sukan.

"Bagaimana kita menggunakan komuniti untuk membangunkan sukan... Bukan sahaja (bermuka) daripada tempat lain seperti sekolah sukan, tetapi sebelum itu lagi," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.