Persatuan Alumni UiTM lapor polis nafi kenyataan berbaur hasutan

Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan pemimpin pakatan rakyat bahawa seorang daripada panel forum anjuran persatuan itu Ahad lepas membuat kenyataan berbaur hasutan.
    
Setiausaha Agung persatuan itu Shukri Ishak berkata laporan itu dibuat bagi menafikan dakwaan Pengerusi DAP Karpal Singh kononnya bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah mengeluarkan kenyataan perkauman dalam "Wacana Post-Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah" yang diadakan di sebuah hotel di ibunegara.
    
"Kami nafikan Mohd Noor ada keluarkan kenyataan rasis seperti itu kerana kami tidak mendengarnya dalam pita rakaman (yang dibuat pada majlis itu)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di ibu pejabat polis Daerah Dang Wangi di ibunegara.
    
Forum sehari anjuran bersama persatuan itu dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu turut dihadiri oleh pelbagai wakil dari NGO di seluruh negara.
    
Shukri berkata: "Perkara yang dibincangkan dalam wacana itu lebih fokus kepada isu perpaduan ummah sebab kita risau tentang trend pengundi sekarang.     

"Apabila berlaku, kita perlu menyedarkan masyarakat bahawa Malaysia ini adalah (negara) majmuk dan (rakyat di negara ini) perlu mempercayai antara sesama kaum yang lain. Jadi, kita perlukan sesuatu untuk membetulkan keadaan," katanya.
     
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan itu.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.