ADUN Sri Muda gagal ketepikan tuduhan menghasut

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak rayuan anggota Dewan Undangan Sri Muda Mat Shuhaimi Shafiei untuk mengetepikan tuduhan menghasut yang dikenakan terhadapnya.

Mat Shuhaimi mengemukakan permohonan itu dengan mempertikai kesahan daripada segi Perlembagaan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, yang digunakan dalam pertuduhan terhadapnya.

Dalam keputusan sebulat suaranya, panel tiga anggota yang diketuai Hakim Datuk Abdul Malik Ishak, menyatakan seksyen itu sah di sisi perlembagaan kerana ia digubal oleh Parlimen.

"Seksyen ini kekal sebagai undang-undang yang sah hingga hari ini," kata Abdul Malik yang bersidang bersama Hakim Datuk Azhar Mohamed dan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Abdul Malik memerintahkan Mat Suhaimi, 45, menghadirkan diri di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 5 Jun, yang ditetapkan sebagai tarikh sebutan kesnya.

Bagaimanapun, panel itu membenarkan Mat Shuhaimi menangguhkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen sementara menunggu keputusan rayuannya terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Abdul Malik meluluskan permohonan penangguhan itu, yang dikemukakan Mat Shuhaimi melalui peguamnya Edmund Bon dan tidak dibantah timbalan pendakwa raya Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Adun daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikenakan pertuduhan berkenaan pada 2011 kerana menyiarkan tulisan bersifat menghasut dalam blognya srimuda.blogspot.com berhubung pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baharu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Pusat Khidmat Rakyat, Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning, Shah Alam pada 30 Disember 2010.

Mat Suhaimi boleh dihukum penjara hingga tiga tahun atau denda hingga RM5,000 jika sabit kesalahan.

Pada 1 April 2011, beliau memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk memohon mengetepikan tuduhan menghasut itu dengan memberi alasan Akta Hasutan yang digunakan dalam pertuduhan terhadapnya, tidak sah di sisi undang-undang kerana ia bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak kebebasan bersuara.

Pada 26 Ogos 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan Mat Shuhaimi untuk mengetepikan tuduhan berkenaan.

Susulan itu, beliau mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.