'Mahu halau kami, tapi jemput orang Bangladesh'

Rasa tidak puas hati terhadap keputusan pilihan raya dan perasaan kecewa dengan kenyataan menteri dalam negeri terhadap mereka yang mempertikai keputusan itu mendorong kehadiran sebilangan peserta himpunan Suara Rakyat Suara Keramat edisi Negeri Sembilan semalam.

Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Dupa, 45 tahun, berkata beliau turut menyertai dua lagi himpunan sama di Johor Bahru dan Selangor walaupun menetap di Bahau, Negeri Sembilan.

"Kalau nak ikut, memang tak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya tambahan pula ada banyak dakwaan penipuan melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan (undi) anggota pasukan keselamatan," katanya.

harry ngHenry Ng, 28, (kiri), pula berpendapat kebanjiran orang ramai ke siri himpunan itu membuktikan Pakatan Rakyat sebenarnya 'memenangi' hati rakyat Malaysia dalam pilihan raya yang lalu walaupun masih belum berjaya membentuk kerajaan pusat.

Merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang menggesa golongan yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya agar berhijrah ke luar negara, Henry secara berjenaka berkata beliau berharap mereka yang berketurunan Tionghua sepertinya tidak disuruh pulang ke tanah besar China.

"Saya harap jangan suruh saya balik China," katanya sambil ketawa kecil tetapi kelihatan bersemangat selepas berjaya mendapatkan tandatangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada baju-T yang dipakainya.

Rakan Henry, Ariel Ng, 26, pula berpendapat mereka yang meragui keputusan pilihan raya lalu tiada pilihan lain buat masa ini melainkan hadir ke himpunan demikian bagi menyatakan protes mereka.

karen ngoo"Keputusan pilihan raya tidak adil, kami tiada pilihan dan kami tidak tahu apa lagi yang kami boleh buat untuk masa ini," katanya.

Karen Ngoo, 46, (kiri) pula merasakan kenyataan Zahid Hamidi itu tidak wajar di kala terdapat dakwaan dan kontroversi mengenai pengundi hantu terutamanya yang melibatkan warga asing dari Bangladesh.

"Anda mahu halau kami orang Malaysia, tetapi orang Bangladesh dibawa masuk ke dalam negara.

"Anda mesti hormat kami, itu pengundi hantu Bangladesh-lah yang perlu dihalau," katanya.

 

1.Zahid: Berhijrah jika tidak mahu terima sistem p'raya

2.Anwar: 'Zahid, kamu ingat negara ini bapa kamu yang punya?'

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.