Kedah henti sementara pembalakan untuk kajian semula

Kerajaan Kedah akan menghentikan sementara semua aktiviti pembalakan di negeri itu supaya kajian semula dapat dilakukan bagi mengelakkan aktiviti itu memberi kesan kepada alam sekitar dan rakyat, kata Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir.
    
Katanya beliau telah menerima laporan dan aduan daripada masyarakat kampung bahawa aktiviti pembalakan yang sedang berlaku di kawasan mereka telah menjejaskan bekalan dan kualiti air di kampung mereka.
    
"Saya megesyorkan supaya aktiviti pembalakan dihentikan buat seketika supaya kita dapat menyemak adakah laporan EIA (Kesan Penilaian Alam Sekitar) yang sepatutnya dilakukan di mana-mana kawasan pembalakan dilaksanakan dan apa yang disyorkan laporan EIA," katanya kepada pemberita selepas Majlis Kenduri Kesyukuran peringkat negeri di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon di Alor Setar hari ini.
    
Katanya beliau mahu memastikan bahawa setiap syarat yang dikenakan kepada mana-mana konsesi pembalakan dipatuhi oleh pihak-pihak terlibat.
    
"Sekiranya ada sebarang aduan yang berasaskan bukti menyatakan bahawa syarat-syarat tersebut walaupun sedikit yang tidak dipatuhi, saya tidak akan teragak-agak mengarahkan supaya aktiviti pembalakan dihentikan segera. Saya nak semak semula konsesi-konsesi ini. Kita bukan nak kacau rezeki orang. Saya nak pastikan kepentingan rakyat sentiasa kita dahulukan.
    
"Pada masa hadapan seboleh-bolehnya saya tak mahu keluarkan konsesi pembalakan lagi...saya ingat dah cukup. Kita kena cari sumber pendapatan lain untuk Kedah. Bagi saya pokok yang tegak berdiri lebih besar nilainya daripada pokok yang ditebang. Ada potensi dan peluang untuk industri pelancongan dan sebagainya," katanya.
    
Isu pembalakan tidak terkawal oleh kerajaan negeri sebelum ini merupakan satu isu yang membelenggu rakyat Kedah terutama di kawasan-kawasan terlibat.
    
Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Kolej Universiti Insaniah (Kuin) termasuk Rektornya  Prof Datuk Dr Jamil Osman dalam usaha menyelesaikan masalah yang berlaku di kolej universiti milik kerajaan negeri itu.
    
Katanya beliau telah meminta Exco terlibat iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Datuk Tajul Urus Mat Zain supaya memberikan perhatian mengenai masalah berkenaan.
    
"Beliau akan memberikan laporan yang lebih menyeluruh kepada saya untuk kita memutuskan hala tuju baru bagi Kuin. Kita juga berbincang dengan pihak lain yang terlibat dengan Kuin. Paling penting kita kena jaga kebajikan pelajar, kakitangan barulah pengurusan," katanya.

Kuin merupakan satu lagi masalah dalam pentadbiran kerajaan negeri terdahulu. Kakitangan Kuin berhadapan masalah dengan pihak pengurusan yang mereka dakwa melakukan penyelewangan termasuk gagal membayar caruman kepada pihak ketiga walaupun ada pemotongan dibuat dalam slip gaji mereka.
    
Kerajaan negeri dan Kuin juga terpaksa membayar pinjaman bank sebanyak RM46 juta setahun bagi pembinaan kampus induk di Kuala Ketil. Kampus induk itu juga tidak mempunyai kemudahan asrama yang menyukar kehidupan para pelajar yang terpaksa berpindah randah.
    
"Jumlah RM46 juta setahun itu sebenarnya memberi kesan kepada rakyat. Bayangkan berapa banyak rumah untuk rakyat memerlukan yang boleh dibina dengan wang sebanyak RM46 juta itu," kata Mukhriz.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.