Taib tolak faktor 'tsunami Cina' di S'wak

BN Sarawak menafikan sebab utama kekalahannya di kawasan bandar dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini akibat sokongan masyarakat Cina yang merosot terhadap BN.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud menolak istilah "Tsunami Cina" bagi menyifatkan corak undian masyarakat Cina yang memihak kepada pembangkang.  

Menurut beliau, kekalahan BN mungkin disebabkan faktor dalaman dan bukan faktor luar.

"Berdasarkan analisis pengundi di luar Kuching seperti parlimen Sarikei, Sibu dan Miri, kita kalah dengan selisih angka yang kecil," katanya di majlis jamuan masyarakat bersempena ulang tahun kelapan Bandaraya Miri malam tadi.

Menyentuh kekalahan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di enam daripada tujuh kerusi parlimen yang ditandinginya pada PRU13, Taib berkata, terdapat tanda-tanda menggalakkan bahawa BN khususnya SUPP boleh mendapat semula kepercayaan pengundi terutama di luar Bandaraya Kuching.

SUPP bertanding di Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Lanang, Sibu dan Miri tetapi hanya dapat mengekalkan kerusi Serian, yang majoriti pengundinya adalah bumiputera.

Taib berkata sebagai contoh kerusi parlimen Miri terlepas dari BN dengan majoriti kurang daripada 2,000 undi yang menunjukkan tanda positif bahawa BN punya peluang untuk mendapat semula kepercayaan pengundi di kawasan bandar.  

Beliau turut menyatakan tidak setuju dengan keputusan MCA tidak sedia menerima sebarang jawatan dalam kerajaan kerana kalah teruk pada PRU itu.

Ini, kata Taib, bertentangan dengan semangat BN yang mahukan sebuah kerajaan yang dianggotai pelbagai kaum.  

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.