Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mensasarkan pungutan zakat RM430 juta tahun ini meliputi 120,000 pembayar di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Pengerusi PPZ-MAIWP Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata bagi tempoh Januari hingga 17 Mei lalu, sebanyak RM135 juta telah dikutip.

"Berdasarkan kutipan tahun lalu kita yakin sasaran ini dapat dicapai kerana kesedaran masyarakat Islam di negara ini mengenai kepentingan membayar zakat telah meningkat," katanya kepada media selepas merasmikan Mini Karnival Cinta Ilmu 2 anjuran PPZ-MAIWP, di Kuala Lumpur  hari ini.

Katanya tahun lalu sebanyak RM402.8 juta berjaya dikutip daripada 114,402 pembayar zakat.

Mustafa berkata PPZ-MAIWP akan meneruskan kempen untuk menggalakkan umat Islam membayar zakat termasuk mengadakan pertemuan secara terus melalui siri karnival seperti yang diadakan hari ini.

"Untuk tahun ini kita fokus pada saluran untuk membayar zakat termasuk melalui potongan gaji dan pembayaran dalam talian," katanya.

Menurut Mustafa, setakat ini dua mini karnival telah diadakan dan dua lagi program akan diadakan di Pantai Dalam dan Danau Kota bulan depan.

Selain daripada pembukaan kaunter penerangan mengenai zakat, Mini Karnival Cinta Ilmu 2 yang diadakan di Masjid Al-Muqarabbin Bandar Tasek Selatan di sini turut mengadakan ceramah 'Keluarga Bahagia' oleh Datuk Siti Nor Bahyah Mahmud, 'Bicara Selebriti' oleh artis Yatt Hamzah dan ceramah oleh Chef Ismail mengenai 'Air Tangan Ibu Barakah'.

Kira-kira 1,000 pengunjung hadir pada mini karnival itu.

- Bernama

ADS