Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang menggesa Pengerusi DAP Karpal Singh supaya tidak membuat kenyataan yang "mengelirukan rakyat" berhubung kenyataannya bahawa perlembagaan persekutuan perlu dipinda bagi memansuhkan Dewan Negara.
Sebaliknya, Abu Zahar menyeru Karpal supaya mengamal dan menghormati keluhuran undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
"Saya fikir YB Karpal yang juga seorang peguam dan ahli parlimen yang memahami perlembagaan, beliau perlu melihat apa yang disebut dalam perlembagaan.
"Jangan membuat komen yang mengelirukan rakyat... Rakyat akan menilainya.
"Saya menasihatkan semua pihak supaya memahami perlembagaan yang dipakai sejak merdeka lagi dan perlembagaan ini menjadikan Malaysia aman dan harmoni. Jangan keruhkan keadaan," katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai yang dipertua Dewan Negara bagi penggal kedua di ibu negara pagi ini.
Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor dilapor berkata Dewan Negara tidak diperlukan supaya perbelanjaannya tidak perlu untuk lagi ditanggung rakyat.
"Ia hanya menggalakkan orang yang telah ditolak oleh rakyat atau orang lain untuk dibawa ke Parlimen dari pintu belakang melalui Dewan Negara memandangkan dalam undang-undang Parlimen juga termasuk Dewan Negara," kata Karpal.
Beliau juga berkata Parlimen yang merupakan dewan perundangan yang tunggal, seperti juga kedudukannya di Singapura, merupakan yang paling sesuai demi kepentingan awam.
