ULASAN MAPIM menggesa kerajaan Malaysia tidak meneruskan menandatangani rundingan Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) yang dijangka akan dimeterai pada Oktober 2013 di Brunei.

Dari penelitian kami, ternyata TPPA akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara sepertimana yang pernah diingatkan oleh pelbagai NGO dahulu bila Malaysia hampir menandatangani perjanjian Free Trade Aggreement (FTA) dengan Amerika Syarikat.

Kesan TPPA sudah diteliti oleh pelbagai pakar ekonomi dari kalangan penyelidik serta NGO yang jelas mendapati ia akan berakhir dengan kerugian yang akan ditanggung oleh usahawan tempatan serta membebankan kualiti hidup rakyat keseluruhannya.

Dijangka kesan TPPA melibatkan peningkatan kos hidup rakyat. Antara yang telah dilibatkan dalam perjanjian itu ialah soal harga ubat-ubatan.

Perjanjian itu akan melibatkan peraturan ubat generik tidak dibenarkan dijual iaitu ubat tiruan yang lebih murah yang mempunyai kandungan dan kesan yang sama dengan ubat asli.

Bermakna ubat hanya boleh dibeli secara langsung dari syarikat farmasi asal yang akan menyebabkan kos ubat sangat mahal. Ini berlaku kerana dalam perjanjian TPPA hak harta intelektual ke atas ubat dikuatkuasakan untuk melindungi syarikat gergasi farmasi antarabangsa.

TPPA juga bakal memberi kesan buruk ke atas industri padi negara apabila beras dari Amerika Syarikat yang menerima subsidi yang tinggi akan dipasarkan di negara ini.

Ratusan ribu keluarga petani padi di negara ini akan terjejas jika TPPA dimeterai.

Termasuk juga khidmat undang-undang dan pelbagai khidmat profesional tempatan yang lain akan berhadapan persaingan pasaran terbuka.

Keadaan ini akan bertambah buruk apabila syarikat tempatan dan negara akan terdedah kepada tindakan undang-undang antarabangsa jika ada layanan lebih di beri kepada syarikat tempatan.

Soalnya TPPA sangat berisiko tinggi untuk Malaysia kerana klausa yang terkandung dalamnya boleh merangkumi hampir semua industri dan mewujudkan persaingan yang akan merugikan ekonomi tempatan.

Kami kesal perundingan TPPA tidak didedahkan kepada awam untuk mendapatkan maklum balas. Malah ahli Parlimen juga tidak dimaklumkan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

Padahal natijah jika ia dimeterai akan memberi kesan yang sangat besar kepada seluruh kehidupan rakyat.

Kami menegaskan perjanjian seperti ini tidak sepatutnya dimeterai secara rahsia dan terlindung dari pengetahuan orang awam.

Rakyat berhak tahu dan memberi pandangan bila perjanjian seperti ini melibatkan kualiti hidup mereka sama ada dalam jangka panjang mahupun jangka pendek.

Malah menyertai pusingan rundingan TPPA kali ke-17 yang dilaksanakan sekarang ini di Peru bermula 15 Mei hingga 24 Mei 2013 itu sendiri tidak diketahui oleh Ahli Parlimen , apatah lagi orang awam.

Kami dengan ini menyuarakan bantahan kami terhadap penyertaan Malaysia dalam rundingan TPPA kerana perjanjian yang mempunyai implikasi besar seperti ini tidak sepatutnya diteruskan sebelum ia dibahaskan di peringkat rakyat Malaysia terlebih dahulu.

Banyak maklumat penting mengenai TPPA yang belum diperoleh masyarakat awam supaya satu proses maklum balas dan konsultasi antara masyarakat sivil dan kerajaan dapat digerakkan.

Malah penyertaan Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam rundingan TPPA bersama 11 negara lain (Australia, Brunei, Kanada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam ) itu tidak diketahui oleh ahli Parlimen sendiri.

Pada asasnya TPPA adalah versi baru dari FTA dengan Amerika Syarikat. Perjanjian FTA menerima bantahan dari pelbagai pihak yang akhirnya tidak ditandatangani antara Malaysia dan FTA mengikut jadual asal.

Kami kesal perjanjian seperti ini dilakukan secara terlindung dari pengetahuan awam. Kami mendesak kerajaan Malaysia tidak meneruskan penyertaan dalam rundingan TPPA tersebut sehingga analisis terperinci dapat dihasilkan untuk dibahaskan kepada umum mengenai kebaikan dan keburukan perjanjian TPPA tersebut.


MOHD AZMI ABDUL HAMID presiden MAPIM. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.