Mesyuarat pemilihan pimpinan Umno dijangka akan diadakan pada akhir tahun ini kata setiausaha agung parti itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, sebelum itu, mesyuarat Majlis Tertinggi serta mesyuarat diperingkat cawangan Umno akan diadakan terlebih dahulu.

NONE"Kita ada waktu. Kita akan adakan Majlis Tertinggi pada 31 haribulan dan akan mulai mesyuarat cawangan pada akhir Jun.

"KIta akan buat peracangan bila mesyuarat pemilihan Umno. Saya jangka mesyuarat pemilihan akan diadakan pada akhir tahun ini," katanya ringkas.

Beliau yang juga menteri wilayah persekutuan berkata demikian ketika ditanya pemberita dalam sidang media selepas satu taklimat daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di ibu negara hari ini.

Spekulasi yang timbul sebelum ini menyebut, pemilihan pimpinan Umno mungkin akan diawalkan dengan mengadakan pada bulan Ogos ini.

Ketua penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan bagaimanapun pada minggu lalu menjelaskan, pemilihan pada tahun ini melibatkan 146,500 perwakilan Umno daripada 161 bahagian di seluruh negara.

Umno dalam perhimpunan agungnya pada Disember 2011 meluluskan usul menangguhkan pemilihannya di semua peringkat Majlis Tertinggi, bahagian dan cawangan.

Tengku Adnan ketika membentangkan usul itu berkata, ia akan ditangguhkan tidak lebih 18 bulan dari tarikh sepatutnya, selaras dengan fasal 10(16) perlembagaan parti.