Satu memorandum daripada 27 NGO hari ini dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri bagi mendesak agar pihak polis menghentikan penahanan yang bermotifkan politik.
Wakil salah sebuah NGO yang hadir menyerahkan memorandum tersebut, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvam berkata memorandum yang dihantar itu juga bertujuan meminta agar aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim dibebaskan dengan serta-merta.
"Kita cuma minta supaya Adam Adli dibebaskan segera dan hentikan penahanan yang bermotifkan politik.
"Kementerian tak boleh kata tak ada kena mengena kerana pelantikan polis dan ketua polis negara semuanya daripada pihak kerajaan dan kementerian. Sebarang tindakan polis, kementerian bertanggungjawab," katanya dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum.
Memorandum diserahkan kepada wakil kementerian, Timbalan Setiausaha Bahagian Keselataman dan Ketenteraman Awam,
Shamril Faizalis kira-kira jam 2 petang.
Selain Arutchelvam, turut hadir ialah wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram), R Thevarajan.
Aktivis siswa tak dibenar masuk
Memorandum itu juga dihantar bagi meminta agar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil langkah bijak bagi meredakan kemarahan rakyat.
