Timbalan Pengerusi Perhubungan BN Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau bertanggungjawab terhadap kekalahan BN di Selangor serta menerima keputusan tidak dilantik semula sebagai menteri.
"Saya sebagai timbalan pengarah pilihan raya BN Selangor, mengambil tanggungjawab itu sebagai timbalan pengerusi perhubungan kerana kekalahan teruk di Selangor. Saya kena ambil tanggungjawab itu.
"Saya ibaratkan usaha yang kita buat walaupun pada mulanya yakin boleh menang tapi saat akhir tsunami berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah tugas kepada menteri pertanian dan asas tani yang baru, Datuk Seri Ismail Sabri.
BN Selangor kalah teruk di Selangor apabila kehilangan lapan kerusi DUN apabila hanya mampu mempertahankan 12 daripada 20 kerusi DUN yang dimenangi pada 2008.
Dalam pilihan raya umum pada 5 Mei lalu, Pakatan memenangi 44 daripada 56 kerusi DUN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan pengerusi Umno dan BN Selangor.
Selain itu Noh juga berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana memberi peluang kepadanya sebelum ini untuk berkhidmat sebagai menteri.
Katanya lagi, walaupun tidak lagi dilantik sebagai menteri beliau akan terus mempertahankan dasar BN.
"Kita sedia dan akur kerana perlantikan menteri ini kuasa perdana menteri. Jadi beliau yang lantik. Kalau tak lantik pun bagi saya pemimpin ini tak akan kekal. Pemimpin silih berganti. Yang penting dasarnya mesti diteruskan," katanya lagi.

