Most Read
Most Commented
Read more like this

Kerajaan PAS Kelantan belum menerima pekeliling daripada Jabatan Perdana Menteri yang mengarahkan supaya 'Amanat Hadi' diwartakan sebagai bercanggah dengan ajaran Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Ustaz Haji Mohamad Daud, berkata sehingga kini kerajaan negeri masih belum terima sebarang pekeliling mengenai arahan berhubung hal itu.

"Tak tahu, tak terima lagi," kata Mohamad kepada malaysiakini , apabila diminta mengulas laporan agensi berita Bernama Sabtu lalu yang menyebutkan pekeliling tersebut telah diedarkan kepada kerajaan-kerajaan negeri, termasuk yang ditadbir oleh PAS, sejak minggu lepas.

Beliau menambah, selepas menerima pekeliling itu, kerajaan negeri akan membincang dan mengkaji kandungan pekeliling itu.

Menurut beliau, isu itu sudah lama ditimbulkan. "Apakah Umno tiada modal politik yang lain?" katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin berkata semua kerajaan negeri perlu mematuhi arahan pekeliling itu menerusi jabatan agama negeri masing-masing.

Beliau berkata, pekeliling itu dikeluarkan apabila kerajaan mendapati masih ada kerajaan negeri yang tidak mewartakan fatwa itu selepas ia diputuskan bercanggah dengan ajaran Islam pada tahun 1984.

Menurut laporan Bernama lagi, pada 17 April lalu, Naib Presiden PAS Mustafa Ali berkata bahawa parti itu tidak pernah dimaklumkan mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa Amanat Hadi bercanggah dengan Islam dan beliau menggesa Umno membuktikan itu.

Bagaimanapun menurut Abdul Hamid, majlis fatwa yang bersidang pada Nov 21 dan Dis 3, 1984 telah berputus bahawa amanat tersebut bercanggah dengan ajaran Islam kepada Majlis Raja-Raja dan diluluskan untuk diwartakan.

ADS