Oleh itu, mereka memandang berat tindakan 'keras' pihak berkuasa Singapura terhadap 21 rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu, termasuk membatalkan permit kerja dan pas lawatan mereka kerana menyertai perhimpunan untuk tujuan itu di sana.
Dilaporkan polis republik itu menahan 21 rakyat Malaysia selepas terlibat dalam perhimpunan haram di Merlion Park di republik itu kerana membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 Malaysia pada 5 Mei lalu."Singapura tidak harus takut terhadap segelintir rakyat Malaysia yang mahu memperjuangkan pilihan raya yang bersih adil di negara mereka sendiri.
"Mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi yang mantap dan saksama seharusnya mengalu-alukan sebarang gesaan yang dibuat secara aman, malah di negara mereka sendiri," kata mereka dalam satu memorandum yang dihantar kepada pesuruhjaya Tinggi Singapura hari ini.
Memorandum itu ditandatangani Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Chua Jui Meng dan dua ahli Parlimen PKR - Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Datuk Idris Jauzi (Batu Pahat).Mereka menyerahkan memorandum tersebut kepada dua setiausaha kepada Pesuruhjaya Tinggi Singapura - Harris Rusdi Chai dan Ramanathan Manivasagan di Kuala Lumpur pagi ini.
Dalam memorandum itu, keempat-empat pemimpin PKR itu berkata mereka sedar tentang keperluan rakyat Malaysia di Singapura untuk menghormati undang-undang negara itu.
Bagaimanapun, mereka merayu pihak berkuasa Singapura supaya bertindak mengikut kesesuaian dan keadilan dalam melaksanakan undang-undang.
Mereka menyifatkan sebagai keras tindakan menangkap rakyat Malaysia terbabit dan membatal/menyemak semula pas kerja/lawatan mereka hanya kerana mereka memperjuang demokrasi, yang merupakan satu perjuangan sejagat."Tindakan pihak berkuasa Singapura itu yang keras itu bertentangan sepenuhnya dengan semangat kerjasama (ini). Ia menjejaskan moral rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura."
Menurut mereka lagi, rakyat Malaysia merupakan kumpulan tenaga kerja terbesar di Singapura sejak berdekad lamanya, dan telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi republik itu.
"Kami, ahli parlimen PKR ingin menunjukkan solidariti kami dengan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk meneruskan perjuangan demokrasi, (menuntut) pilihan raya bersih dan adil di Malaysia."Kami memandang tinggi semangat rakyat Malaysia yang menyatakan pendirian mereka bagi menuntut keadilan dan demokrasi," kata mereka sambil menambah bahawa mereka percaya Malaysia dan Singapura amat menghargai persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara.
Oleh itu, pemimpin PKR itu menggesa pihak berkuasa Singapura supaya memberi peluang kedua kepada rakyat Malaysia terbabit.

