Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata pasukannya menahan tiga orang aktivis dan pemimpin pembangkang mengikut Akta Hasutan hari ini memandangkan peruntukan itu masih berkuatkuasa.

"Akta Hasutan belum dimansuhkan. Kalau dah mansuh macam mana nak guna pakai pada kes yang dah digunapakai. Belum dimansuhkan. Masih berkuatkuasa.

"Bagi pihak polis kita hanya jalankan siasatan. Kalau betul akta itu sah atau tidak, serahkan pada pihak mahkamah," katanya.

Beliau mengulas demikian apabila ditanya mengenai penahanan naib presiden PKR Tian Chua, aktivis Haris Ibrahim dan aktivis PAS Tamrin Ghafar mengikut Akta Hasutan hari ini.

Selain individu terbabit, polis yang dipimpin ketua polis negara yang baru Datuk Seri Khalid Abu Bakar, menyiasat enam lagi pemimpin Pakatan dan aktivis selepas pilihan raya umum ke-13, atas kesalahan berbeza.

Ia termasuk ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad, aktivis siswa Adam Adli Abdul Halim, MP Pandan Rafizi Ramli, pengasas DAP Dr Chen Man Hin, MP Taiping Nga Kor Ming dan MP Serdang Ong Kian Ming.