SPRM siasat kaitan rasuah kes rogol bawah umur

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berhubung dakwaan terdapat elemen rasuah melibatkan seorang pengurus restoran yang merupakan suspek kes rogol bawah umur di Kota Kinabalu.
    
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali dalam satu kenyataan malam ini mengesahkan siasatan berkaitan dakwaan rasuah itu dijalankan dengan kerjasama agensi penguatkuasa lain yang menyiasat kesalahan jenayah termasuk rogol.
    
Riduan Masmud, 40, didakwa merogol gadis berusia 12 tahun enam bulan dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Inanam, Sabah pada kira-kira 10 pagi, 18 Februari lepas, bagaimanapun, dia kemudian mengahwini gadis itu ketika perbicaraan.
    
Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khatom Abd Samad kemudian memberi tempoh sehingga 6 Jun ini kepada Jabatan Peguam Negara sama ada ingin meneruskan kes itu atau sebaliknya.
    
Pada 7 Mei lepas, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazmeen Zulkifli memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai bantahan untuk kes itu ditarik balik selepas mangsa menarik balik laporan polis yang dibuat pada 18 April.
    
Semalam, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberi jaminan bahawa kes itu masih berjalan dan Jabatan Peguam Negara tidak pernah menggugurkannya.
    
Abdul Gani juga dilaporkan mengesyorkan SPRM 'campur tangan' berkaitan isu wang RM5,000 dibayar kepada bapa mangsa oleh tertuduh yang disebut sebagai 'Sogit', iaitu satu bentuk pampasan mengikut undang-undang anak watan atau adat Sabah.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.