Seorang perwakilan wanita PKR hari ini mempersoalkan tindakan parti itu yang didakwanya meletak calon wanita di kerusi yang tidak popular dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

NONEMalah, Murni Hidayah Anuar dari Paya Besar menganggap tindakan itu umpama mahu 'membunuh' calon wanita tersebut, termasuk dirinya yang diletak bertanding di Parlimen tersebut.

"Walaupun Paya Besar, Tambun dan Pengerang bukan kerusi popular tapi untuk rekod, Wanita menerima cabaran ini," katanya.

Murni membangkitkan perkara itu ketika membahaskan usul mengenai calon Wanita dalam kongres nasional Wanita PKR kali ke-9 di Petaling Jaya hari ini.

"Usul ini menekankan peranan Wanita Pusat dalam memastikan calon kita menang dikawasan yang ditandingi.

"Pastikan ada jentera. Jangan hantar wanita untuk 'dibunuh'. Wanita Pusat perlu ambil tahu.

"Kita bukan setakat nak cukupkan kuota. Kita hantar wanita untuk bertanding dalam dewan. Maka persediaan perlu dilakukan sekarang," tambahnya.

Wanita PKR bertanding di sembilan buah kerusi Parlimen dalam PRU13 pada 5 Mei lalu.

Bagaimanapun, hanya tiga calon wanita yang menang - Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), Fuziah Salleh (Kuantan) dan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin (Ampang).

Sementara itu, dalam ucapan pergulungan, Zuraida berkata, ketua cabang harus dipertanggungjawabkan dalam isu jentera parti tidak menjalankan tugas semasa pilihan raya lalu sehingga mengakibatkan kekalahan di beberapa kawasan.

"Ketua cabang perlu lakukan tugas pilihan raya. Jangan salahkan Wanita. Kalau tak bergerak, maknanya ketua cabang yang tidak gerakkan jentera itu.

"Jadi kita perlu terbalikkan. Selepas ini biar Wanita pula yang jadi ketua cabang," katanya.