Menurut PGSM, cadangan itu bagi membolehkan wakil jabatan agama berfungsi untuk mengemukakan bantahan dan pandangan dalam permohonan tersebut.
Presiden PGSM, Musa Awang berkata, mengikut amalan pada masa ini, tiada responden dinamakan dalam permohonan oleh bapa atau wali di Mahkamah Syariah.
Mengikut undang-undang keluarga Islam di negeri-negeri sedia ada, permohonan itu perlu dibuat sekiranya melibatkan pasangan berusia bawah 18 tahun bagi lelaki atau anak gadis berusia bawah 16 tahun.
"Maka wakil jabatan agama Islam negeri boleh hadir sebagai pihak semasa pendengaran permohonan kebenaran berkahwin bawah umur tersebut, bagi mengemukakan bantahan atau pandangan supaya kebenaran berkahwin bawah umur yang diberikan oleh Hakim Syarie tersebut benar-benar tepat dan adil."
Dalam kenyataannya hari ini, Musa berkata perkara itu dibolehkan mengikut peruntukan Seksyen 18 hingga 20 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah.
"Mahkamah boleh membenarkan dua orang atau lebih dicantumkan sekali dalam satu tindakan sebagai plaintif atau defendan, menambahkan mana-mana pihak mengikut apa-apa cara dan terma yang adil dan patut atau memerintahkan kehadiran mana-mana pihak yang perlu untuk memastikan bahawa perkara itu boleh diputuskan dan dihakimi dengan berkesan dan lengkap.
"Cadangan ini boleh sedikit sebanyak menutup ruang untuk mereka yang cuba mengambil kesempatan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk undang-undang Syariah yang membolehkan perkahwinan bawah umur diiktiraf sebagai sah, asalkan memenuhi syarat-syarat tertentu," katanya.
Katanya, hakim syarie juga boleh mengenakan syarat tertentu dalam memberi kelulusan untuk sesuatu perkahwinan bawah umur.
Kenyataannya hari ini itu bagi mengulas kes melibatkan seorang lelaki berumur 40 tahun yang didakwa merogol gadis berusia hampir 13 tahun, dan kemudiannya memaklumkan dia berkahwin dengan gadis itu mengikut undang-undang Syariah.
