Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meluaskan operasi kira-kira 100 batu nautika dari Kuala Takbai, Pengkalan Kubor di Tumpat untuk mencari dan menyelamat lima pemancing yang dilaporkan hilang sejak dua hari lepas.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Kelantan Kapten Maritim Wan Burhanuddin Yusof berkata agensi itu turut menjalankan operasi mencari di Tukun Shaari, kira-kira 25 batu nautika dari Tumpat yang popular dalam kalangan pemancing untuk mencandat sotong.

"Namun pemancing yang dilaporkan hilang tidak ditemui di kawasan itu, malah nelayan yang ke laut juga tidak terserempak dengan bot yang dinaiki lima pemancing itu," katanya pada sidang media di Jeti Kampung Dalam Rhu di Tumpat hari ini.

Mohd Fadzuan Suhaimi, 25, adiknya, Mohd Firdaus Suhaimi, 18, dari Kampung Dalam Rhu, sepupu mereka Mohd Osman Mohamad, 36, dari Kampung Morak, Mazlan Mohamad, 44, dari Wakaf Che Yeh, dan pemandu bot, Mohd Masdi Che Hassan, 39, dari Kampung Pantai Cahaya Bulan, Kota Baharu, hilang setelah pergi memancing.

Mereka dikatakan keluar memancing dengan menaiki bot jenis fiber tetapi dilaporkan hilang selepas berlepas dari jeti Kampung Dalam Rhu kira-kira 2 pagi, Jumaat lepas.

Wan Burhanuddin berkata pihaknya turut meminta bantuan Polis Marin Diraja Thailand kerana khuatir kelima-lima mangsa tersebut memasuki perairan Thailand.

Beliau berkata operasi itu juga menggunakan bantuan sebuah bot Polis Marin Diraja Thailand, sebuah bot Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor, tiga bot APMM dan sebuah pesawat udara jenis bombardier, selain bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan.

- Bernama