Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Dharmendran: Polis siasat pegawainya
Diterbitkan:  May 28, 2013 1:36 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Polis merakam keterangan beberapa orang pegawai dan anggotanya berhubung siasatan kes kematian seorang kakitangan syarikat pembetungan, N Dharmendran yang ditemui mati pada hari Rabu lalu di lokap ibu pejabat polis Kuala Lumpur.

Lapora Berita Harian hari ini memetik kenyataan timbalan pengarah jabatan siasatan jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah yang memberi jaminan bahawa kes itu akan dikendalikan secara telus dan adil.

“Kita sudah memanggil beberapa pegawai dan anggota untuk proses rakaman percakapan bagi membantu siasatan sebelum mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab kepada punca sebenar kematian mangsa.

“Siasatan dibuat dalam tempoh secepat mungkin bagi membolehkan mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Dharmendran dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya sepeti dipetik dalam laporan itu.

Tambahnya, polis juga merakam kenyataan isteri Dharmendran, M Marry dan peguam N Surendran berhubung kes tersebut.

Dharmendran dilaporkan ditahan polis selepas membuat laporan polis susulan satu pergaduhan yang melibatkan dirinya pada 11 Mei.

Isteri dan ibu bapanya hanya mengetahui mengenai penahanan tersebut pada 19 Mei dan mengunjungi Dharmendran di lokap polis.

Beliau sepatutnya dibebaskan dengan jaminan pada 21 Mei namun Mary menerima panggilan yang menyatakan bahawa Dharmendran telahpun meninggal dunia.

Ketua CID Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah sebelum ini dilaporkan berkata lelaki 31 tahun itu mati akibat kesukaran bernafas.

Polis kemudiannya mengkategorikan kes tersebut sebagai kes bunuh apabila perunding patologi daripada Hospital Kuala Lumpur mengesahkan bahawa Dharmendran meninggal dunia akibat "kegagalan fungsi kecederaan tisu lembut akibat pukulan ke badan".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS