Ketua polis negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar akan mengetuai satu jawatankuasa khas yang bakal dilancarkan untuk menyiasat dan mengelakkan kes kematian tahanan dalam lokap polis.
Pengarah pengurusan Bukit Aman Datuk Mortadza Nazarene antara lainnya berkata jawatankuasa berkenaan antara lainnya ditugaskan untuk memantau tahap keselamatan dan kesihatan tahanan.
"Pucuk pimpinan polis prihatin atas beberapa insiden kematian di lokap polis. Kami memandang serius perkara ini dan ingin mencegahnya daripada berulang," katanya seperti dipetik Bernama dalam satu sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Katanya, jawatankuasa itu ditubuhkan susulan kematian seorang pekerja syarikat pembetungan N Dharmendran pada hari Selasa lalu.
Mortadza seterusnya dalam satu kenyataan berkata PDRM turut berjanji untuk mewujudkan lokap berpusat tambahan di beberapa kawasan seluruh negara di samping meningkatkan aspek penjagaan kesihatan orang kena tahan (OKT) di dalam lokap.
"PDRM akan mewujudkan lokap berpusat di beberapa kawasan seperti di Jinjang, Shah Alam, Indera Mahkota, Bayan Baru dan Kota Kinabalu.
"Lokap tersebut akan dilengkapi dengan kamera litar tertutup, sistem interkom, ruang Black Maria, bilik peguam, bilik mahkamah, bilik kawalan, bilik kawad cam, bilik transit dan ruang makan bagi menjamin keselamatan OKT ketika berada di dalam tahanan.
"Aspek kesihatan juga dipertingkatkan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan bersama PDRM untuk memastikan OKT diberikan pemeriksaan kesihatan dengan kehadiran doktor perubatan sekurang-kurangnya seminggu sekali," kenyataan itu dipetik.
