Tamrin, Haris, Tian ditahan semula

Naib presiden PKR Tian Chua, aktivis PAS Datuk Tamrin Abdul Ghafar dan pemimpin NGO Asalkan Bukan Umno Haris Ibrahim ditahan semula hari ini, empat hari selepas dibebaskan.

Menurut PDRM, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur juga mengeluarkan waran untuk menahan aktivis politik Hishamuddin Rais.

NONE"Ya... Polis berada di rumah saya di Ampang sekarang," kata Tamrin yang menambah pasukan polis itu tiba pada kira-kira jam 7.15 petang.

"Mereka ada waran tangkap berhubung isu sama dan membawa saya ke ibu pejabat polis Dang Wangi," katanya lagi kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Peguam Gobind Singh Deo juga mengesahkan bahawa Haris ditahan semula pada jam 7 petang ini dan turut dibawa ke ibu pejabat polis Dang Wangi.

"Kami boleh sahkan bahawa mereka berdua (Haris dan Tamrin) ditahan semula mengikut Akta Hasutan," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Tamrin dan Haris ditahan pada 23 Mei lalu, bersama naib presiden PKR Tian Chua, namun dibebaskan semula pada keesokan harinya apabila polis gagal mendapatkan perintah reman.

Ketika dihubungi, Tian berkata beliau tidak melihat apa-apa tanda yang menunjukkan tindakan penahan polis ke atasnya.

"Tapi saya tidak kata saya selamat, tapi tengoklah macam mana," katanya.

Sementara itu, seorang aktivis siswa Mohd Safwan Anang turut ditahan mengikut peruntukan sama.

Ketika dihubungi, isterinya Masturah Abu Bakar memberitahu Malaysiakini bahawa beliau dibawa ke ibu pejabat polis Dang Wang.

"Polis tidak beritahu sama ada ia untuk merakam kenyataan atau untuk penahanan," katanya.

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.