Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bapa kepada mendiang N Dharmendran mendakwa, seorang pegawai kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri menghubungi keluarganya untuk mengadakan pertemuan secara "rahsia" berhubung kes anaknya yang mati di lokap polis itu.

B Narayanasamy mendakwa beliau dihubungi oleh seorang lelaki sejak malam Isnin lalu, yang turut meminta agar tidak memberitahu sesiapa mengenai perbualan mereka.

Menurutnya lagi isteri mendiang, S Marry turut dihubungi oleh individu berkenaan.

"Dia kata dia daripada pejabat perdana menteri dan dia nak jumpa saya dan Marry (isteri Dharmendran) sebab nak cakap mengenai apa yang berlaku tentang kematian Dharmendran dan dia juga minta tolong jangan beritahu peguam serta nak buat perjumpaan secara rahsia.

"Dia juga beritahu supaya jangan gunakan perkhidmatan peguam ini dan mereka kata ada peguam lain yang boleh membantu," kata Narayanasamy dalam bahasa Tamil.

Menurutnya, beliau menolak pelawaan berkenaan kerana perkara yang perlu ditumpukan pada masa ini adalah siasatan ke atas kes kematian Dharmendran dan bukan ahli keluarga.

"Dalam kertas (keputusan bedah siasat) doktor kata mati (akibat) dipukul, kenapa tak teruskan siasatan?," katanya.

Kenyataannya itu diterjemahkan oleh peguam yang mewakili keluarga mendiang, G Sivamalar, dalam sidang media di ibu pejabat PKR itu.  

Sementara itu, peguam kepada keluarga Dharmendran, N Surendran mempersoakan tindakan ketua polis negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang mengetuai jawatankuasa khas bagi siasatan kes kematian dalam tahanan.

Katanya Khalid tidak layak untuk mengetuai jawatankuasa tersebut kerana bekas ketua polis Selangor itu menurutnya gagal menyelesaikan isu kematian tahanan dalam lokap di negeri tersebut, termasuk kes kematian remaja Aminul Rashid Hamzah.

"Dia sebelum ini ketua polis Selangor pun gagal untuk selesaikan kes Aminul Rashid dan A Kugan. Sekarang ini nak ketuai pula jawatankuasa ini. Dia tak layak untuk mengetuai jawatankuasa khas ini.

"Kalau dia nak saman sebab saya kata begini, dia boleh saman. Tapi dia memang tak layak (ketuai jawatankuasa)," katanya lagi.

Dharmendran, 32, mati di dalam lokap pada 21 Mei lalu ketika ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

ADS