Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid nafi keluar kenyataan lewat lantik exco
Diterbitkan:  Jun 4, 2013 5:44 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Timbalan Pesuruhjaya PAS III Selangor, Khalid Abdul Samad mendakwa portal berita Malaysiakini mensensasikan artikel yang ditulisnya dalam blog berkaitan pelantikan anggota Exco kerajaan negeri Selangor.

Khalid menafikan beliau ada mengeluarkan kenyataan mengenai kelewatan pelantikan anggota Exco kerajaan negeri oleh sebab untuk memenuhi kehendak Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

NONE "Dalam artikel saya (pada 20 Mei lepas), saya tidak tuduh Istana atas kelewatan dan saya tidak salahkan mana-mana pihak," katanya pada sidang berita di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata tulisannya itu hanya menjelaskan mekanisme pelantikan Exco kerana ada yang mendakwa Pakatan Rakyat bergaduh dalam menentukan siapa anggota exco kerajaan negeri.

"Kami tidak tergesa-gesa (dalam pelantikan Exco) kerana Pakatan Rakyat sudah menang selesa pada pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini. Ini Malaysiakini sengaja nak sensasikan menyebabkan pihak Istana mengeluarkan kenyataan bahawa saya telah menyalahkan Istana," katanya.

Sehubungan itu, Khalid yang juga anggota Parlimen Shah Alam berharap Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani membaca artikel asalnya dalam blog beliau bagi mendapatkan kebenaran mengenai kenyataannya itu.

Dalam blognya 'Khalid Samad', beliau menyatakan bahawa pihaknya difahamkan Sultan Selangor ingin melihat anggota Exco terdiri daripada enam Melayu dan empat bukan Melayu berbanding pada 2008 anggota Exco terdiri daripada lima Melayu dan lima bukan Melayu.

Pada Khamis lepas, Mohamad Munir dalam kenyataan media menjelaskan bahawa kelewatan pelantikan anggota Exco kerajaan negeri Selangor ialah kerana Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendapat perkenan Istana selepas kembali daripada rawatan di luar negara.

Justeru itu, kata Mohamad, tohmahan kononnya kelewatan pelantikan Exco ialah bagi memenuhi kehendak Sultan Selangor adalah tidak benar, dan beliau mengingatkan semua pihak agar tidak mengheret pihak Istana dalam hal ehwal politik bagi mengelakkan salah tanggapan rakyat terhadap Sultan Selangor.

- Bernama

ADS