Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tarian gelek hina wanita, kata Pemuda PAS
Diterbitkan:  Jun 6, 2013 11:46 AM
Dikemaskini: 7:43 AM

Pemuda PAS mempersoalkan tindakan Umno yang berdiam diri terhadap kenyataan MCA Segamat yang disifatkan tidak sensitif terhadap adat resam dan kepercayaan setempat apabila mempertahankan acara tarian gelek separuh bogel di sebuah pasar raya.

NONE Mengulas kenyataan Ketua MCA Segamat Dr Lee Hong Tee sebelum ini, setiausaha dewan itu Khairul Faizi Ahmad Kamil menyindir, "di mana suara pemimpin Umno yang lantang memperjuangkan Islam selama ini".

"Di mana suara-suara ulama mereka serta pemimpin NGO mereka yang kononnya begitu tegar mahu Islam dilaksanakan," katanya.

Harakahdaily Isnin lalu melaporkan, PAS Segamat membantah keras penganjuran tarian yang disifatkan separuh bogel di hadapan 500 penonton, termasuk anak kecil, oleh wanita yang dipercayai dibawa dari luar negara pada 1 Jun.

Mengulas perkara itu, Dr Lee kelmarin antaranya berkata, bantahan PAS kawasan itu menggambarkan parti itu akan melaksanakan dasar " ultra konservatif " dan "mundur" di Johor jika menang dalam pilihan raya umum yang lalu di Johor.

NONE Sementara itu, dalam kenyataannya petang semalam, Khairul Faizi juga mempersoalkan kenapa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi tidak bertegas kepada MCA Segamat sedangkan pernah berkeras dengan pihak yang mempertikaikan sistem pilihan raya Malaysia.

"Beranikah Zahid sebagai menteri dalam negeri menyelar kenyataan MCA Segamat dengan mencadangkan MCA berhijrah keluar negara kerana tidak menghormati sensitiviti umat Islam dan adab masyarakat negara ini, sebagai mana beliau lantang menghalau keluar rakyat yang menuntut pilihan raya yang adil dan demokrasi," katanya.

Diskriminasi, hina wanita

Sementara itu, menyentuh aktiviti itu, Khairul Faizi menyifatkannya sebagai diskriminasi dan penghinaan terhadap wanita.

"Wanita tersebut dipakaikan dengan pakaian seksi separuh bogel serta menari mengikut irama dan liuk lentuk dengan tubuh yang mempesona. Sepatutnya wanita itu dimuliakan.

"Tempatnya bukan di situ, mereka mempunyai kedudukan yang tinggi sebagai pemimpin, pengurus serta golongan yang dihormati.

"Meletakkan mereka sebagai tontonan kaum lelaki adalah suatu penghinaan terhadap wanita," katanya.

ADS