Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DOSH: Kegagalan struktur asas mungkin punca runtuhan

Siasatan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) menumpukan pada kegagalan kerja struktur asas yang dipercayai menjadi punca keruntuhan tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang semalam.

    

Pengarah Dosh Pulau Pinang Mohd Anuar Embi berkata faktor utama kejadian itu mungkin akibat kegagalan kerja struktur asas.

    

"Saya tidak menolak kemungkinan lain tetapi siasatan awal kami adalah pada kerja-kerja asas struktur binaan," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak kejadian runtuhan hari ini.

    

Katanya beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada kurang penyelengaraan atau pemasangan struktur asas yang tidak betul.

"Semua ini perlu dilakukan mengikut amalan kejuruteraan yang baik bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

    

Beliau berkata siasatan mungkin boleh berlarutan sehingga dua bulan bergantung kepada keadaannya yang rumit.

    

Semalam, tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang yang sedang dalam pembinaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu runtuh pada kira-kira jam 6.40 petang.

    

Runtuhan itu membabitkan tanjakan konkrit dan besi penyambung di Pakej 3A iaitu di susur keluar dari jambatan itu ke lebuh raya di bahagian pulau.

    

Tiga orang cedera dalam kejadian itu, iaitu dua pekerja binaan Slamat, 36, dari Indonesia dan Tin Maung Iwin, 39, dari Myanmar dan wanita tempatan. Thilasheni Rajendran, 24.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Fadilah Yusof berkata punca sebenar insiden runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang perlu segera dikenalpasti bagi mengelak berulangnya kejadian seumpamanya.

   

Beliau berkata sebuah pasukan penyiasat bebas terdiri kumpulan pakar akan diwujudkan untuk mengenal pasti sama ada runtuhan itu disebabkan ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), kompetensi pekerja atau masalah lain.

   

"Kita kena kaji keseluruhan insiden untuk dijadikan rujukan jangka panjang. Kalau libatkan kelemahan daripada segi SOP maka kita kena cari jalan untuk tambah baik," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

   

Fadilah berkata walaupun aspek keselamatan di tapak pembinaan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH), Kementerian Sumber Manusia, namun pihaknya masih perlu menjalankan siasatan memandangkan semua lebuh raya di negara ini dipantau oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di bawah kementeriannya.

   

Ditanya mengenai kesan insiden tersebut kepada keseluruhan projek jambatan yang dijangka dibuka September depan, Fadilah berkata ia bergantung kepada hasil siasatan pasukan penyiasat yang ditubuhkan dan tindakan DOSH sendiri.

- Bernama

ADS