Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata suruhanjaya itu akan mengkaji semula kerusi-kerusi yang jumlah pengundinya tidak selari dengan pengkelasannya.

Beliau memberi contoh kerusi parlimen Baling yang dianggap sebagai kerusi luar bandar walaupun mempunyai lebih 70,000 pengundi berdaftar, jauh lebih banyak berbanding parlimen Alor Setar.

Bagaimanapun tegasnya, pengkelasan itu dibuat SPR pada sepuluh tahun lalu dan barisan pesuruhjaya sekarang tiada kena mengena dengannya.

"Ia sukar untuk dijustifikasikan, tetapi kita akan kaji semula kerana ia dibuat sewaktu persempadanan semula tahun 2002 dan sekarang panelnya dibarisi orang lain," katanya kepada wartawan selepas forum berkenaan perkara itu di bangunan Majlis Peguam.

Tambahnya, panel SPR sekarang terdiri daripada pengerusi SPR, beliau sendiri dan lima orang pesuruhjaya.

Pada tahun 2002, beliau merupakan setiausaha SPR dan terlibat dalam kerja-kerja pentadbiran sahaja.

Justeru, beliau menggesa orang ramai agar tidak menilai panel SPR sekarang yang masih belum pun melakukan persempadanan semula dengan panel terdahulu.

Mengulas tentang gesaan sesetengah pihak agar memansuhkan sistem 'first past the post', Wan Ahmad berkata buat masa ini beliau merasakan sistem tersebut adalah sistem terbaik untuk pilihan raya Malaysia.

Menurutnya, sistem itu menuntut wakil rakyat yang dipilih bertanggungjawab kepada pengundi mereka berbanding sistem lain yang menuntut pengundi memilih parti untuk kawasan mereka berbanding calon.

ADS