Polis akan sekat himpunan 'Blackout 505' di Perlis

Polis tidak meluluskan perhimpunan Blackout 505 yang dijadual berlangsung malam esok, di tanah lapang Kampung Bakau di Kangar, kerana penganjurnya tidak mengemukakan permohonan dalam tempoh 10 hari sebelum penganjurannya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kangar DSP Ismail Che Isa berkata jika program itu diteruskan, ia jelas melanggar Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kami akan mengambil langkah mengawal kawasan berkenaan bagi memastikan tidak berlaku sebarang perhimpunan," katanya di Kangar hari ini.

Menurut Ismail, polis hanya menerima satu permohonan untuk mengadakan program ceramah kesyukuran di tapak berkenaan tetapi polis tidak dapat memproses permohonan itu kerana penganjur gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 10(C) dan Seksyen 11, Akta perhimpunan Aman 2012.

Mengikut Seksyen 10(C) akta berkenaan, penganjur perlu mengemukakan permohonan bersama salinan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan manakala Seksyen 11 mensyaratkan pemohon memperoleh persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan bagi maksud perhimpunan, katanya.

Sementara itu, Pengurus Kawalan Pelaburan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis Norsiake Kassim mengesahan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan bagi menggunakan tapak perbadanan itu bagi tujuan perhimpunan.

Justeru, Ismail menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan haram itu dan memberi amaran kepada penganjur supaya tidak meneruskan program itu atau berdepan tindakan undang-undang.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.