Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada bukti 40,000 warga Bangladesh mengundi, kata Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan para pelajar Malaysia di luar negara supaya tidak terpedaya dengan pembohongan pembangkang sehingga menyebabkan mereka tidak lagi menyokong kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri berkata fitnah dan  pembohongan pembangkang berhubung proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu misalnya telah menimbulkan persepsi yang salah terhadap kerajaan sehingga ada golongan  terpelajar juga turut  mempercayainya.

   

"Sampai hari ini belum ada buktipun bahawa  kononnya kita bawa 40,000 warga Bangladesh (untuk mengundi), ini satu fitnah dan  pembohongan yang amat besar yang berlaku dalam pilihan raya kali ini.

   

"Sebab itu saya kata tak kan ada orang tak boleh  fikir, rupanya ada orang tak boleh fikir, saya dapat tahu peguampun tak boleh fikir.  Apa sudah berlaku ke atas mereka, apa yang terjadi dengan tahap kecerdikan dan  rasional yang tak boleh fikir soal  ini," katanya semasa berucap di majlis  jamuan tengah hari bersama pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia di Dewan

Serbaguna, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia di Kuningan di Jakarta hari ini.

   

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri  Rosmah Mansor, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin  Syed Hassan dan isteri Datin Sharifah Ikhlas Syed Ismail.

   

Najib berada di sini dalam rangka lawatan  peribadi untuk bertemu beberapa pemimpin Indonesia yang rapat dengannya, selain berehat  selepas PRU13.

   

Perdana menteri meminta para pelajar  Malaysia di Indonesia berfikir secara rasional bagaimana Barisan Nasional (BN) kononnya  boleh membawa 40,000 warga Bangladesh ke Malaysia sebagai pengundi kerana ia  memerlukan 100 pesawat jumbo untuk mengangkut mereka dari negara asal dan  memerlukan 1,000 buah bas pula untuk membawa mereka ke tempat mengundi pada hari  mengundi.

   

Secara logik, katanya, dakwaan pembangkang  itu tidak masuk akal dan BN pula sukar untuk menyembunyikan warga Bangladesh di  Malaysia kerana ciri-ciri paras rupa mereka adalah berlainan dengan kebanyakan warga  Malaysia.

   

"Saya sebagai pengerusi BN menafikan dengan  sekeras-kerasnya wujud penipuan yang kononnya dilakukan oleh BN. Proses pilihan raya  telah berlaku dengan adil mengikut undang-undang dan peraturan," katanya.

   

Najib berkata BN yang telah banyak melakukan perubahan dari segi penyampaian dalam tempoh empat tahun yang lalu dan telah menang secara sah pada PRU13, namun ia kalah dalam perang persepsi kerana fitnah dan pembohongan yang dilakukan pembangkang melalui media alternatif yang lebih dipercayai daripada kebenaran yang dipaparkan dalam media arus perdana.

   

"Kita perlu untuk PRU akan datang, BN  melengkapkan dari segi kemampuan untuk memerangi perang persepsi, realitinya kita sudah  sampaikan, Malaysia semakin hari semakin makmur dan menjadi contoh kepada negara lain tetapi persepsinya dikatakan sebaliknya.

   

"Inilah yang kita hadapi sebagai cabaran yang paling besar kepada BN untuk memerangi perang persepsi," katanya.

   

Perdana menteri berkata sunggupun lawatannya ke Indonesia kali ini bersifat peribadi, beliau turut mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin Indonesia yang rapat dengan beliau.

   

"Saya telah menegaskan kepada mereka bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia merupakan hubungan yang sangat penting yang perlu dipupuk dan diperkukuhkan melalui lawatan rasmi dan peribadi," katanya.

   

Najib berkata dalam lawatannya kali ini beliau  turut ditemu bual stesen TV swasta MetroTV dan ditemu ramah majalah Tempo di mana beliau antara lain menyampaikan mesej bahawa Malaysia ingin melihat  integrasi ekonomi antara Malaysia dan Indonesia menjadi lebih mendalam walaupun  kedua-dua negara mempunyai jumlah dagangan yang sentiasa baik iaitu kira-kira AS$18 bilion.

   

Sasaran yang dituju dari segi jumlah dagangan  untuk kedua-dua negara itu ialah AS$30 bilion menjelang tahun 2015.

   

"Saya sampaikan mesej ini dengan harapan  berdasarkan hubungan kerajaan dengan kerajaan dan rakyat dengan rakyat yang sangat  serasi, maka ia perlu  diterjemahkan dalam bentuk hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan, yang boleh menjadikan hubungan Malaysia-Indonesia lebih kukuh," katanya.

   

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS