Enam kawasan catat bacaan IPU tidak baik

Enam kawasan, termasuk dua di Melaka, mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat hari ini.
    
Sehingga pukul 11 pagi, bacaan IPU paling tinggi dicatat di Melaka iaitu Bandaraya Melaka (129) dan Bukit Rambai (120) diikuti Port Dickson (117), Muar(110), Pelabuhan Klang (104) dan Kemaman (101).

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataannya menyebut negara kini mengalami musim Monsun Barat Daya bermula Jun ini, yang dijangka berterusan hingga September.
    
"Angin monsun yang bertiup dari kawasan titik panas di Sumatera Tengah, Indonesia telah membawa asap jerebu ke kawasan tengah dan selatan Pantai Barat Semenanjung," kata kenyataan itu.
    
IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).
    
Kenyataan itu juga menyebut kebakaran di beberapa kawasan tanah gambut di Selangor adalah terkawal dan tidak menyumbang kepada peningkatan IPU di sekitar Lembah Klang.
    
Ia merujuk kepada kebakaran di Kampung Busut Baru, Pulau Kempas; Hutan Simpan Kuala Langat Selatan; Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan kawasan seluas enam ekar dalam kawasan Bandar Nusaputra, Sepang.
    
Kenyataan itu juga menyebut status kebakaran sebagai 'masih terdapat beberapa tompok asap dalam kawasan seluas 30 ekar dan kerja memadamkan api giat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat yang dibantu JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan serta Jabatan Mineral dan  Geosains.  
    
JAS menasihatkan orang ramai tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka dan bekerjasama memadamkan kebakaran kecil atau melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.